Isnin, 25 Januari 2016 | 12:10am
SALMAH Buhari, menemani anaknya Sharif Nur Azmi Salip Mawallil, yang mengidap penyakit leukimia di wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi
MOHAMAD Amirul Adha. - Foto NSTP

Rindu ingin kembali ke sekolah

KUALA LUMPUR: Lazimnya kanak-kanak begitu teruja untuk memulakan sesi persekolahan sebaik saja memasuki tahun baharu kerana dapat bertemu rakan dan mengikut sesi pembelajaran yang berbeza pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, bagi kanak-kanak dan remaja yang menghidapi penyakit dan terpaksa terlantar di hospital, sudah pasti niat itu tidak kesampaian, sebaliknya terpaksa menghabiskan masa di katil wad dengan melakukan aktiviti sendiri.

Penghidap kanser, Sharif Nur Azmi Salip Mawalil, 16, berkata beliau perlu reda atas ketentuan Allah dan mahu terus berjuang untuk hidup.

Sejak kesihatan mulai merosot pada Ogos 2014, beliau terpaksa melupakan zaman persekolahan.

Bermula dengan demam biasa hinggalah disahkan menghidapi sejenis kanser kelenjar, "relapsed acute lymphoblastic lymphoma", hospital sudah menjadi rumah kedua buat dirinya berulang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan berkala.

"Kalau dulu memang saya rasa tertekan kerana sakit, tetapi sekarang saya pasrah," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui berasa tertekan. Bukan saja beliau malah ibunya, Salmah Buhari, 52 turut mendapatkan bantuan daripada ahli psikologi untuk tempoh beberapa bulan sewaktu mula dikesan menghidapi kanser.


SHARIF Nur Azmi Salip Mawallil, bersama adiknya Sharifah Nuriezam Amylieya Abd Rahman, di wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Belajar di wad seorang diri

Masa berlalu ditelan waktu, hari ini Sharif Nur Azmi terus positif dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarganya.

Kini, walaupun tidak lagi mengikuti rutin harian sebagai pelajar, beliau masih menuntut ilmu di wad dengan kehadiran guru yang datang mengajar.

"Walaupun belajar seorang diri, sekurang-kurangnya saya masih belajar dan mampu memegang buku. Saya bersyukur, walaupun dalam keadaan kesihatan yang terbatas, masih mampu menulis dan membaca.

"Saya ada baju sekolah dan bila sihat nanti saya akan memakainya. Rasa tidak sabar untuk sihat dan doakan supaya saya cepat sembuh," katanya.


SHARIF Nur Azmi Salip Mawallil, yang mengidap penyakit leukimia di wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi


SALMAH menemani anaknya, Sharif Nur Azmi Salip Mawallil, di wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Teman anak

Sementara itu, Salmah berkata, Sharif Nur Azmi banyak menghabiskan masa belajar dengan cikgu yang datang ke hospital atau melakukan aktiviti mewarna, sebagai sebahagian daripada terapi yang digalakkan bagi pesakit seperti beliau untuk mengalihkan tumpuan daripada rasa sakit kepada dunia warna yang lebih menceriakan.

"Di katil hospital, Nur Azmi ditemani saya dan adik angkatnya, Sharifah Nuriezam Amylieya Abd Rahman, 4, yang sentiasa setia menemani beliau sewaktu menjalani rawatan selain menjadi kekuatan untuknya terus kuat mengharung sakit," katanya.

Beliau terus optimis dan sentiasa memberi semangat kepada anak kesayangannya supaya diberi kekuatan untuk menghadapi penyakit dideritai sambil mengharapkan akan sembuh sepenuhnya menerusi rawatan yang dijalani.

Pelajar Tingkatan Satu, Methodist Boy School, Kuala Lumpur, Mohamad Amirul Adha Mohd Razaidi, 13, yang masih tidak diketahui jenis penyakitnya juga tidak dapat memulakan sesi persekolahan bersama rakan sebaya.

Tahap kesihatan tidak mengizinkan menyebabkan menjadikan rekod kehadiran dia

ke sekolah, kekal sifar sejak sesi persekolahan bermula kerana dimasukkan ke Wad Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak 15 Disember lalu.

Namun keadaan itu, tidak pernah melunturkan semangatnya untuk melawan sakit dan kembali ke sekolah. Dalam keterbatasan diri, rindu ke sekolah kekal membaluti dirinya.

"Saya nak sangat keluar cepat. Sembuh saja nanti, saya nak terus ke sekolah. Saya rasa sangat rindu untuk memakai baju sekolah dan mengenali rakan sebaya.

"Di sini saya asyik terbaring tanpa berbuat apa-apa. Saya juga rindu untuk bermain bola dengan kawan-kawan," katanya.


NORLIZA Md Amin, menemani anaknya Mohamad Amirul Adha, yang mengidap penyakit kanser di wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Sedang tunggu status penyakit

Mohamad Amirul Adha dimasukkan ke hospital selepas demamnya tidak sembuh selama seminggu, pada awal Disember lalu.

Sangkaan demam denggi meleset justeru pihak hospital meminta siasatan terperinci perlu dilakukan dalam usaha mengenal pasti punca penyakit.

Beliau kini sedang menunggu hasil penyelidikan perubatan mengenai status penyakit dialaminya.

Ketika ditemui, beliau baru saja selesai mengambil 'cecair tulang belakang'. Wajahnya kelihatan sedikit pucat tetapi tetap bersemangat untuk ditemubual.

Ibunya, Norliza Md Amin, 39, setia menemani sepanjang beliau dimasukkan ke wad, sejak empat minggu lalu.


MOHAMAD Amirul Adha mengambil UPSR di wad. - Foto NSTP

Banyak baca buku di atas katil wad

Anak kepada pasangan polis ini banyak menghabiskan masa membaca dan berbual-bual dengan ibunya sewaktu di hospital.

Mohamad Amirul Adha berkata, sungguhpun tidak sihat, beliau sebenarnya berminat menyertai kemudahan tersedia di hospital berkenaan termasuk perpustakaan mini, tetapi beliau mudah penat dan kakinya tidak kuat untuk berdiri dan berjalan.

"Tidak mahu ketinggalan dalam persekolahan, ada juga ibu membawa buku teks sekolah untuk saya baca, tetapi bila pegang buku itu, ia hanya menyebabkan saya bertambah rindu untuk ke sekolah," katanya yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak dan angkasawan negara.

Badan susut

Sementara itu, Norliza berkata: "Pada kebiasaannya baju sekolah anak kami dibeli awal. Namun sakit Mohamad Amirul Adha yang datang mengejut menyebabkan pembelian baju sekolah untuk dia tergendala.

"Lagipun, saya kira kalau beli awal pun nanti tidak muat sebab saya dapati badan Mohamad Amirul Adha susut banyak, daripada 69 kilogram sewaktu sihat dulu, kepada kira-kira 50 kilogram saja hari ini," katanya.

Norliza berkata, Mohamad Amirul Adha tidak pernah sakit teruk, malah aktif terbabit dalam sukan bola sepak sewaktu di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, sungguhpun sewaktu bayi dulu, beliau dilahir 'tidak cukup bulan' iaitu pada usia kandungan 32 minggu.

Tidak pernah ada tanda sakit serius hinggalah pada Ogos tahun lalu, di mana beliau sering mengadu mudah penat dan sakit badan yang tidak berkesudahan.

Demam dan bengkak paru-paru tidak lama selepas itu, membawa kepada rawatan 'menebuk' untuk mengeluarkan air pada bahagian berkenaan pada bulan sama.

Rentetan itu, anak kedua daripada empat beradik berasal dari Selangor itu, terpaksa menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di katil hospital.

"Pencapaian dalam UPSR beliau sederhana. Saya kira sebab beliau sakit. Dia pernah bertanya kepada saya, mengapa beliau sakit? Malah pernah menyuarakan hasrat untuk 'lari' daripada hospital kerana nak pergi sekolah.

"Kata-kata itu sangat menyedihkan saya, tetapi saya selalu memberi beliau semangat untuk terus melawan sakit. Saya katakan beliau perlu terus berjuang melawan sakit, sebab dengan kekuatan itulah yang akan membolehkan beliau cepat sembuh dan kembali ke kelas, bersama guru dan kawan-kawan menuntut ilmu," katanya.


PAKAR Perunding Kanan, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin. - Foto Saifullizan Tamadi

Banyak program

Pakar Perunding Kanak-Kanak Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Norzila Mohamed Zainudin, berkata kemasukan pesakit ke wad pediatrik.

Dalam memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di situ, katanya, banyak aktiviti diatur sepanjang tahun yang diadakan bertujuan menggembirakan pesakit, antaranya sambutan hari jadi, jamuan hari raya, sukan dan sebagainya.

"Kita mendapat kerjasama dan tajaan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan korporat dalam usaha menggembirakan mereka yang berada dalam keadaan yang kurang sihat," katanya yang menjelaskan mana-mana pihak yang berminat untuk menaja program boleh berhubung dengan HKL.

Berita Harian X