Isnin, 25 Januari 2016 | 7:46am

Masih banyak pelabur mahu taja Selangor


PENGURUS pasukan Selangor, Amirudin Shari. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Selepas 'ditolak' syarikat kosmetik D'Herbs, Selangor tidak bimbang kerana reputasi juara Piala Malaysia itu masih 'laris' berikutan beberapa pihak masih mahu melabur selaku penaja pasukan The Red Giants itu pada musim ini.

Meskipun tidak mendapat tajaan daripada syarikat kosmetik terbabit, pengurus pasukan, Amirudin Shari, berkata Selangor tetap menarik perhatian beberapa pihak yang menunjukkan minat begitu mendalam untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah itu.

"Saya akui kami giat mencari penaja dan kini ada beberapa syarikat yang berminat untuk menaja Selangor. Namun, saya mengambil pengajaran daripada situasi sebelum ini, saya tidak akan mendedahkan syarikat terbabit sebelum tiba masanya.

"Kami sedang menjalankan perbincangan dengan pihak terbabit dan jika semuanya dipersetujui serta dapat mencapai kata putus, kami jangka semuanya akan diselesaikan sebelum hujung bulan ini," katanya semalam.

Mengulas lanjut mengenai 'penolakan' D'Herbs untuk menaja pasukan itu, Amirudin berkata, situasi itu tidak menjadi masalah buat Selangor kerana mereka tidak terdesak dan memiliki asas kewangan.

"Kami yakin dengan kedudukan kewangan kami dengan perkara asas dalam pengurusan pasukan sudah disediakan dan dimasukkan dalam bajet sedia ada sejak awal-awal lagi.

"Jadi, kami percaya pasukan ini tidak akan berhadapan dengan masalah kewangan dan tunggakan gaji, namun penajaan lain masih diperlukan untuk memberi nilai tambah kepada pasukan Selangor," katanya.

Beliau menyifatkan hasil usaha sama antara Selangor dan D'Herbs yang tidak menjadi itu sebagai 'tiada jodoh' kerana kedua-dua pihak memiliki pandangan yang berbeza.

"Sebenarnya bukannya isu menolak daripada mana-mana pihak kerana perbincangan berjalan lancar, namun ada beberapa perkara yang gagal mencapai kata sepakat, jadi kami berpendapat tiada perjanjian yang perlu dimeterai.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita akan mengekalkan tradisi dan jati diri bola sepak Selangor yang memiliki imej tersohor jadi segala isu penajaan akan difikirkan sedalam-dalamnya," katanya.

BH Sukan semalam melaporkan Selangor terkeluar daripada pilihan D'Herbs sebaliknya tiga pasukan iaitu Pahang, Kedah dan FELDA United FC bakal meraih 'durian runtuh' daripada penajaan pengasas syarikat kosmetik itu, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

Aliff mengakui beliau tawar hati untuk menaja pasukan juara Piala Malaysia musim lalu itu berikutan ia terlalu rumit dengan perbincangan yang berlangsung sebelum ini gagal mencapai kata putus.

Berita Harian X