Isnin, 25 Januari 2016 | 7:25pm

Warga Indonesia ditahan cuba ragut RM21,000 daripada jururawat

ANGGOTA polis menahan suspek seorang warganegara Indonesia yang cuba melarikan wang berjumlah RM21,000 selepas meragut seorang jururawat berusia 36 tahun yang baru mengeluarkan wang dalam kejadian di Kubang Kerian, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Seorang warga Indonesia ditahan polis selepas gagal meragut wang RM21,000 daripada seorang jururawat di Kubang Kerian, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisoner Baharom Abu, berkata suspek berusia 19 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri dari tempat kejadian.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Sebelum kejadian, mangsa seorang jururawat berusia 36 tahun baru saja menaiki kereta selepas mengeluarkan wang RM21,000 dari sebuah bank kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

"Ketika masuk ke dalam kereta, datang dua lelaki tidak dikenali menghampirinya lalu meragut beg tangannya.

"Berlaku pergelutan menyebabkan mangsa luka di siku kanan dan patah pergelangan tangan kiri dan dihantar untuk rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Polis masih memburu seorang lagi suspek dalam kes ini," katanya.

Berita Harian X