Selasa, 26 Januari 2016 | 12:03am
KETIKA pertempuram, pemain menggunakan busur dan anak panah yang matanya digantikan dengan span lembut. - Foto Roslin Mat Tahir
PEMANAH memanah sambil menunggang kuda. - Foto Roslin Mat Tahir
SELAIN menggunakan busur dari rotan, pemain juga digalakkan memakai baju Melayu. - Foto Roslin Mat Tahir
SHAHRUDDIN Ahmad memberi tunjuk ajar kepada peserta di Kelab Menunggang Kuda dan Memanah Meru. - Foto Roslin Mat Tahir
AKSI memanah sambil menunggang kuda. - Foto Roslin Mat Tahir
AKSI memanah sambil menunggang kuda. - Foto Roslin Mat Tahir
PEMANAH beraksi menggunakan busur tradisional. - Foto Roslin Mat Tahir

Memanah dalam hutan lebih ekstrem



KUALA LUMPUR: Sejak kebelakangan ini, sukan memanah semakin menarik minat anak muda negara ini untuk menjadikan ia sebagai amalan gaya hidup sihat.

Berbicara mengenai memanah juga menjadi satu kebiasaan kerana ramai yang menjadikan busurnya sebagai koleksi pada dinding rumah, selain ada yang sanggup membina lapang sasar di kawasan bukit sekitar rumah sendiri.

Namun, ia tidak berhenti setakat itu kerana kaedah sukan memanah tradisional kini dipelbagaikan gayanya dengan memanah sambil berkuda dan pertarungan dalam hutan yang menjadikannya lebih menarik dan ekstrem.

Keadaan itu membuatkan sukan yang selama ini begitu tradisional itu, mula diminati anak muda yang menjadikan hujung minggu mereka untuk bertempur dalam hutan seakan-akan sedang berperang dengan senjata yang terkenal ketika zaman Nabi Muhammad SAW.

Melihat sukan itu dimainkan dalam hutan tak ubah seperti permainan 'paintball' apabila dua pasukan bersenjata busur memanah dan anak panah yang matanya digantikan dengan span lembut bertempur sesama sendiri dengan siapa yang terkena panahan dianggap terkorban.

Menariknya kerana ia penuh dengan debaran dan kemahiran. Bermula dengan tiupan wisel, 12 anak muda yang bertempur dalam hutan bersebelahan Kelab Menunggang Kuda dan Memanah Meru mula mencari tempat persembunyian di celah pokok sawit.


AKSI pertempuran pemain di dalam hutan menggunakan busur memanah. - Foto Roslin Mat Tahir

Pertempuran enam sebelah itu menjadi begitu sengit kerana bukan saja perlu pantas mengelak anak panah yang disasarkan kepada mereka, pemain juga perlu mahir menggunakan busur kerana dalam keadaan kelam kabut, ditambah dengan keadaan hutan bersemak, ia bukan sesuatu yang mudah.

Lucu pun ada melihat gelagat mereka kerana permainan ini sebenarnya tidak mudah. Selepas diletakkan anak panah pada posisi tepat di busur, sasaran yang sentiasa berlari ke sana sini juga menuntut pemain untuk tahu mengagak sekuat mana tali busur perlu diregangkan.

Sesekali ada antara mereka yang rebah dan tidak kurang ada yang menjerit sama ada kerana sakit dipanah di kepala atau jeritan kegembiraan dapat memanah badan pihak lawan. Nyata ia tidak langsung membosankan.

Setiap pemanah hanya dibekalkan lima anak panah dan sekiranya habis, panah pihak lawan yang tersasar di kawasan mereka boleh digunakan semula untuk melanjutkan pertempuran. Namun, selepas loceng penamat ditiup, mereka perlu rela pula mencari dan mengutip anak panah yang bersepah.

Itulah disiplin dalam sukan memanah ini. Selain gaya pemakaian sopan yang menampilkan gaya anak Melayu sejati, pemain perlu banyak bersabar, sentiasa fokus dan tahu di mana sasaran selain rajin pula mengutip anak panah.


SUKAN memanah tradisional ini diminati anak muda yang menjadikan hujung minggu mereka bertempur dalam hutan seakan-akan sedang berperang. - Foto Roslin Mat Tahir

Kerana keunikan itulah, pengusaha kelab itu, Shahruddin Ahmad, tidak jemu terus mempromosikan sukan yang dikatakan satu daripada aktiviti sunnah, terutama dalam kalangan anak muda sejak usia persekolahan.

"Bukan mudah sebenarnya mahu menarik minat anak muda ke arah sukan atau permainan budaya kita. Banyak sukan budaya sudah terpinggir tetapi kami lega kerana tiba-tiba memanah menjadi satu fenomena pula.

"Beza memanah tradisi dengan memanah moden ialah busur yang digunakan. Memanah tradisi guna busur dari rotan dan gaya penggunaannya juga ada sedikit berbeza. Pakaian ketika memanah juga digalakkan berbaju Melayu.

"Kerana itu jika melihat anak muda yang memanah di sini, terserlah imej kemelayuan mereka. Di sini, bukan saja memanah dalam hutan atau di ruang memanah tertutup, lebih ekstrem ialah memanah sambil berkuda," katanya.

Itu satu lagi keunikan kelab itu kerana turut menyediakan padang tunggangan kuda yang juga boleh dijadikan tempat latihan memanah dari atas kuda.


PENGUSAHA Kelab Menunggang Kuda dan Memanah Meru, Shahruddin Ahmad. - Foto Roslin Mat Tahir

Meskipun sukar memanah dari atas kuda, ia adalah sesuatu yang sebenarnya sangat seronok dan menuntut kesabaran serta fokus yang tinggi. Ketika menunjukkan demonstrasi memanah sambil berkuda, tenaga pengajar di situ pun perlu menggunakan sepenuh skil yang ada bagi memastikan kuda tidak terganggu dengan bunyi anak panah dilepaskan.

Seorang peminat ekstrem sukan memanah tradisi, Muhammad Noor Rahman Selamat, 27, berkata meskipun bukan dari cabang persilatan tetapi beliau tidak kekok mengenakan busana ala pendekar Melayu ketika memanah.

"Ini yang menarik minat saya kepada sukan ini. Selain mengajak saya untuk menghargai budaya Melayu, saya juga dapat peluang untuk belajar satu sukan kegemaran Rasulullah SAW. Saya bangga berbusana sambil memegang busur.

"Apa yang saya sedar, sejak memanah, jiwa saya lebih tenang dan sentiasa fokus dalam apa saja saya buat. Ini kerana ketenangan sudah menjadi satu rutin amalan ketika memanah yang kini sudah menjadi satu aktiviti tetap saya setiap minggu," katanya.

Berita Harian X