Rabu, 15 Oktober 2014 | 5:39pm

BNM buka untuk maklum balas awam draf pindaan DFIA

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memohon maklum balas awam mengenai draf rang undang-undang untuk meminda Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA).

BNM berkata, ia juga mengalu-alukan peserta industri, perantara dan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memberikan maklum balas bagi mengukuhkan lagi keupayaan DFI.

BNM berkata pindaan itu akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan lagi amalan pengurusan risiko, meningkatkan tahap perlindungan dan ketelusan pengguna serta mencadangkan kemasukan keperluan Syariah untuk membimbing DFI yang menjalankan aktiviti perniagaan Islam.

"Ini bagi memastikan DFI akan terus menyediakan sokongan pembiayaan kepada sektor strategik yang diberi mandat oleh kerajaan, khususnya menyediakan pembiayaan kepada PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan perniagaan mikro," katanya.

Bank pusat itu berkata draf rang undang-undang itu boleh dimuat turun daripada laman web www.bnm.gov.my dan tarikh akhir penyerahan maklum balas dan komen ialah pada 14 November. - BERNAMA

Berita Harian X