Selasa, 26 Januari 2016 | 1:15pm

Pejabat Peguam Negara setuju representasi Yazid, Muhammad Hilmi


BEKAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan pekerja kafeteria, Muhammad Hilmi Hashim.

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara bersetuju dengan representasi oleh bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan pekerja kafeteria, Muhammad Hilmi Hashim, untuk menyemak pertuduhan menggalakkan keganasan yang dihadapi mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Azman Husin dalam prosiding hari ini.

Ia turut disahkan peguam bela Amer Hamzah Arshad.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh akan dikemukakan dengan tuduhan pindaan esok.

Yazid sebelum ini didakwa dengan dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat menghasut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al Qaeda Malaysia, manakala Muhammad Hilmi dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

39 dibaca
Berita Harian X