Selasa, 26 Januari 2016 | 1:20pm

Doktor kurung wanita dalam kubu buatan sendiri

SEORANG doktor di Sweden dibicarakan atas kes rogol dan culik selepas mengaku mengurung seorang wanita dalam kubu buatan sendiri di rumahnya.

STOCKHOLM: Seorang doktor di Sweden dibicarakan atas kes rogol dan culik selepas mengaku mengurung seorang wanita dalam kubu buatan sendiri di rumahnya.

Peguam bela mendakwa anak guamnya berbuat demikian kerana terdesak untuk mencari seorang teman wanita.

Pendakwa raya berkata, lelaki berusia 38 tahun itu merancang jenayah berkenaan sejak beberapa tahun lalu dan mungkin pernah cuba menculik mangsa lain sebelum memberi sedatif dan melarikannya ketika bertemu di Stockholm.

Mangsa berusia 30an itu tidak mengalami kecederaan fizikal serius ketika diculik selama seminggu.

"Tetapi beliau amat trauma dengan pengalaman pahit itu dan lebih tertekan kerana perlu berdepan tertuduh di mahkamah," kata peguamnya, Jens Hogstrom.

Menurut dokumen mahkamah, tertuduh memberitahu penyiasat dia menculik wanita itu pada 12 September di pangsapuri wanita itu di Stockholm ketika janji temu kedua mereka.

Berpura-pura sebagai warga Amerika yang tinggal di London, beliau memberikan strawberi yang dicampur ubat pelali sebelum memandu sejauh 530 kilometer ke rumah desa miliknya di selatan Sweden.

Satu pemeriksaan psikiatri mendapati beliau tidak menghidap penyakit mental yang teruk. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara seumur hidup.

Mangsa menuntut 380,000 Kronor (RM189,000) sebagai ganti rugi, yang menurut peguamnya adalah tinggi mengikut piawaian Sweden. Ganti rugi lazimnya lebih tinggi di negara lain terutamanya Amerika Syarikat. - AP

Berita Harian X