Rabu, 27 Januari 2016 | 12:02am
USTAZ Sham menyembur cat pada busur yang hampir siap. - Foto Roslin Mat Tahir
ROTAN perlu dikikis sebelum dibentukkan menjadi busur. - Foto Roslin Mat Tahir
ANTARA busur tradisional yang berjaya disiapkan. - Foto Roslin Mat Tahir
BUSUR tradisional yang siap untuk dijual pada harga di antara RM350 hingga RM650 bergantung kepada kekuatan setiap busur di antara 30 hingga 70 paun. - Foto Roslin Mat Tahir

Busur daripada rotan kekuatan memanah tradisional


KLANG: Minat masyarakat kepada sukan memanah tradisional yang semakin meluas di negara ini, turut menggerakkan industri penghasilan kelengkapannya.

Selama ini, ramai yang meminati sukan memanah tetapi berkira-kira untuk menceburinya kerana perlu memikirkan kos kelengkapan yang mahal.

Tidak dapat dinafikan dalam apa juga sukan disertai, ia membabitkan kos pembelian kelengkapan dan sewaan gelanggang aktiviti itu.

Sama juga bagi sukan memanah tradisional, kerana selama ini kebanyakan busur perlu diimport ekoran pengeluaran produk tempatan yang masih terhad.

Menyedari kekangan itu, seorang peminat tegar memanah tradisional, Mohd Hisham Subari, 40, mengambil inisiatif menghasilkan kelengkapan sukan terbabit, bukan setakat untuk diri sendiri tetapi juga untuk tempahan.

Mohd Hisham yang lebih dikenali sebagai Ustaz Sham dalam kalangan peminat sukan memanah tradisional berkata, mengakui pada awal pembabitannya agak sukar mendapatkan busur tradisional kerana kebanyakannya adalah busur moden.


USTAZ Sham menunggang kuda sambil memanah di Meru Riding Club. - Foto Roslin Mat Tahir


ROTAN sesuai digunakan untuk menghasilkan busur kerana sifatnya yang ringan, mudah lentur dan tahan lasak. - Foto Roslin Mat Tahir

"Disebabkan minat yang mendalam terhadap sukan ini membuatkan saya terfikir untuk membuat busur sendiri, memandangkan negara kita mempunyai banyak bahan yang sesuai untuk penghasilannya.

"Hampir setahun saya buat kajian mengenai busur tradisional ini termasuk mengenal pasti peralatan digunakan ketika zaman Nabi Muhammad SAW yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu, buluh dan rotan.

"Semua bahan pembuatan itu saya uji tetapi akhirnya memilih rotan bagi penghasilan busur kerana sifatnya yang ringan, mudah lentur dan tahan lasak," katanya yang sudah 10 tahun menceburi sukan memanah tradisional itu.

Ustaz Sham berkata, pada awal pembuatan kelengkapan memanah itu, beliau berdepan kegagalan seperti busur patah, anak panah tidak mempunyai kelajuan selain sukar dibedik dengan tepat.

Katanya, kegagalan pembuatan busur pada peringkat awal tidak menghalang semangatnya terus menghasilkan kelengkapan itu sehingga bertemu seorang kenalan Orang Asli yang mengajarnya memilih rotan dan cara pembuatan yang betul.


PERINGKAT lakaran turut memainkan peranan bagi menghasilkan busur yang berkualiti. - Foto Roslin Mat Tahir


USTAZ Sham membersihkan rotan sebelum dibentukkan menjadi busur. - Foto Roslin Mat Tahir

Dari situ, Ustaz Sham mula berjaya menghasilkan beberapa busur hingga menarik minat rakan-rakannya ketika dibawa ke pertandingan atau sesi latihan.

"Sejak itu saya komited dan yakin mampu menghasilkan busur sendiri. Ketika ini, saya hanya membuat busur berdasarkan permintaan rakan-rakan saja. Jika ada permintaan baru saya buat busur.

"Kebiasaannya setiap busur mampu disiapkan dalam masa dua hari. Rotan yang dipilih akan diraut hingga membentuk rekaan yang dimahukan sebelum dilayur atas api bagi membentuk kerangka busur.

"Selepas itu ia akan dikemaskan dengan cat sebelum diuji kekuatannya. Apa yang uniknya, busur rotan ini mempunyai permukaan yang agak kasar, menimbulkan lagi elemen tradisional," katanya.

Jika dibandingkan busur buatannya dengan yang diimport, Ustaz Sham berkata, beliau menggunakan satu batang rotan berbanding bahan import yang membabitkan tiga sambungan membabitkan badan dan dua bahagian hulu.


USTAZ Sham memasang tali pada busur. - Foto Roslin Mat Tahir


USTAZ Sham menguji busur bagi mendapatkan hasil yang terbaik. - Foto Roslin Mat Tahir

Ustaz Sham berkata, buat masa ini dia tidak merancang memasarkan busur buatannya secara meluas kerana lebih suka membuatnya mengikut tempahan pada harga di antara RM350 hingga RM650 bergantung kepada kekuatan setiap busur di antara 30 hingga 70 paun.

Katanya, setiap busur mempunyai kekuatan yang berbeza bergantung kepada keupayaan individu yang akan menggunanya menyebabkan sebelum sesuatu busur dihasilkan, beliau perlu menilai kekuatan tarikan individu itu terlebih dulu.

"Ini kerana daya tarikan kita berbeza dan dalam sukan memanah tradisional ia memerlukan kepantasan. Jika diletakkan bebanan tarikan yang kuat tetapi pemanah itu tidak dapat menarik, ia akan menjejaskan permainan selain menyakitkan pemanah.

"Sebab itu perlu tahu dulu daya tarikan pemanah terbabit. Saiz badannya juga penting kerana busur untuk permainan memanah agak panjang tetapi bagi memanah berkuda perlu menggunakan busur yang lebih pendek untuk mengelak ia daripada tersangkut," katanya.

Berita Harian X