Rabu, 27 Januari 2016 | 12:30am

Dua pakar kejuruteraan kimia UKM diiktiraf dunia


PROFESOR Kejuruteraan Kimia di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud (kiri) dan Timbalan Pengarah Institut Sel Fuel, UKM, Prof. Dr. Kartom Kamaruddin (kanan), bersama kertas kajian yang mendapat anugerah 'Minda Saintifik Paling Berpengaruh Di Dunia 2015' pada sidang media di Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto Saifullizan Tamadi

BANGI: Dua pakar kejuruteraan kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapat pengiktirafan sebagai antara 'Minda Saintifik Paling Berpengaruh Di Dunia 2015' berdasarkan laporan dikeluarkan Thomson Reuters, baru-baru ini.

Mereka ialah Prof Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud, 60, dan Prof Dr Siti Kartom Kamarudin, 45, kedua-duanya dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.

Analisis oleh Thomson Reuters merangkumi data rujukan selama 11 tahun (2003 hingga 2013) bertujuan mengenal pasti penyelidik dengan hasil penerbitan yang paling banyak dirujuk.

Wan Ramli yang menjalankan penyelidikan dalam bidang sel bahan bakar, tenaga hidrogen dan teknologi pengeringan lestari berkata, pengiktirafan itu dibuat berdasarkan kejayaan mereka menerbitkan makalah berimpak tinggi dan kekerapan penerbitan mereka dirujuk oleh pakar.

"Pencapaian ini adalah sesuatu yang membanggakan UKM kerana hasil penyelidikan ini diterbitkan dalam bahasa Melayu dan ia semakin diterima pada peringkat antarabangsa.

"Bagi saya, tiada alasan mengapa kita tidak boleh menggunakan bahasa Melayu untuk menjalankan penyelidikan teknologi bertaraf dunia kerana semua istilah sains teknologi dan kejuruteraan sudah banyak dihasilkan dalam bahasa ini," katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Siti Kartom yang juga Timbalan Pengarah Institut Sel Fuel UKM berkata, penyelidikan 'Sel Fuel Metanol Langsung' yang dijalankannya berjaya menghasilkan sumber tenaga elektrik untuk peranti mudah alih, iaitu pengguna boleh mengecas bateri menggunakan alat ini dengan hanya menambah metanol tanpa perlu menggunakan tenaga elektrik.

"Kuasa yang dihasilkan menyamai keluaran bateri AAA atau AA. Ia boleh digunakan di tempat yang tiada kuasa elektrik sebagai sumber kuasa untuk lampu, jam, pengecas bateri dan MP3," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah O K Rahmat, berkata kemudahan penyelidikan terkini di UKM berjaya menyumbang kepada usaha melahirkan saintis yang cemerlang bukan sahaja pada peringkat tempatan, malah antarabangsa.

Katanya, kejayaan kedua-dua saintis UKM itu juga membuktikan bahasa Melayu berjaya digunakan sebagai bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi bertaraf dunia, sekali gus membuktikan kedudukan bahasa Melayu setanding bahasa lain di dunia.

29 dibaca
Berita Harian X