Rabu, 27 Januari 2016 | 1:25am

Penembak 'aktif' dalam hospital tentera San Diego


PITA polis dilekatkan menghalang orang melalui hospital tentera San Diego, lokasi tembakan dilepaskan.

LOS ANGELES: Seorang "penembak aktif" dilapor berada di sebuah hospital tentera di San Diego, kata pihak pengurusan sambil mengingatkan orang ramai dalam hospital itu supaya mencari tempat berlindung.

"Seorang penembak aktif dilapor berada dalam bangunan #26 di Pusat Perubatan Tentera Laut San Diego. Semua penghuni dinasihat melarikan diri, bersembunyi atau melawan," kata hospital itu menerusi Facebook.

Pangkalan Tentera Laut San Diego tidak jauh dari hospital itu turut menghantar maklumat dalam talian mengenai satu kejadian tembakan.

"Jika ada bahaya, bersembunyi atau berlindung di tempat selamat. Halang pintu dan dail 911. Matikan bunyi telefon dan peralatan lain," tulis pangkalan itu di Facebook.

Stesen berita tempatan CBS 8 melaporkan, polis mengesahkan tembakan dilepaskan di luar Bangunan 26 di tingkat tiga hospital itu.

San Diego, bandar paling selatan di pantai California, memiliki infrastruktur berkaitan tentera dan menjadi pelabuhan utama buat Tentera Laut Amerika Syarikat.

Hospital itu terletak di Balboa Park, hampir dengan zoo terkenal di San Diego. -AFP

Berita Harian X