Rabu, 27 Januari 2016 | 6:41am

Memperkasa identiti nasional

HAL berkaitan pembinaan negara dan identiti nasional sudah banyak diperkata. Dalam ruang akademik banyak kajian dan literatur yang ada. Begitu juga dengan dasar negara. Silibus pendidikan sivik dan kewarganegaraan serta mata pelajaran Sejarah adalah antara contoh yang dikenal pasti dalam dunia pendidikan yang bertujuan memupuk identiti nasional.

Namun, kita masih lagi mendepani cabaran yang agak besar. Sebagai contoh, parti politik banyak membawa isu identiti nasional ke persada awam dan disampaikan dengan cara tidak menyenangkan.

Nilai yang terkandung dalam Rukun Negara seperti perpaduan, keadilan, pendekatan yang liberal atau terbuka terhadap kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat, dan sikap progresif terhadap sains dan teknologi adalah dimensi penting bagi menentukan identiti nasional.

Gagal pertahan identiti nasional

Dalam pengamatan saya, masih ada kelompok yang tidak sepakat atas prinsip dasar kenegaraan. Kenapa saya berkata begitu?

Walaupun kita mendahului masa dengan merangkumkan prinsip asas kenegaraan itu dalam bentuk Rukun Negara, kita masih tidak dapat bangun bersama-sama mempertahankan identiti nasional atau prinsip asas kenegaraan itu. Bahkan bila bercakap mengenai identiti nasional, ada menggelarkannya sebagai perkauman, terutama kedudukan agama atau bangsa. Ada kelompok yang tidak boleh bezakan perkauman dan kenegaraan.

Banyak lagi cabaran yang perlu dihadapi. Umpamanya, dalam menegakkan kepercayaan kepada tuhan sebagai prinsip pertama, ada kelompok yang mempromosi kepada prinsip tiadanya agama. Dalam cadangan deraf Rang Undang-Undang Harmoni contohnya, perkara ini cuba ditonjolkan.

Dalam meletakkan kesetiaan kepada raja dan negara, ramai menghina institusi raja (bukan setakat menghina individu raja). Ramai juga tidak dapat menghayati hubungan antara raja dan negara serta masih lagi gagal melihat kepentingan institusi itu. Lantas ada mencadangkan pemansuhannya.

Begitu juga dengan keluhuran Perlembagaan. Dalam menjunjung keluhuran Perlembagaan, masih ramai tidak faham perkara asas dalam Perlembagaan dan masih persoal inti pati Perlembagaan. Ada lagi kelompok yang mahu membahaskan dan penilaian semula prinsip asas Perlembagaan.

Dalam mengangkat prinsip Kedaulatan Undang-Undang, penguatkuasaan undang-undang masih menjadi pertikaian. Begitulah juga dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan. Ada yang tidak memahami kedudukan dan kepentingan moral, kesopanan dan kesusilaan. Kita nampak ada kelompok yang menggalakkan kebebasan peribadi walaupun amat jelas kesannya ke atas prinsip kesopanan dan kesusilaan.

Dalam kepelbagaian agama, budaya dan bangsa, masyarakat kita sentiasa mengalami ketidakserasian mengenai elemen identiti nasional ini. Keadaan ini adalah lumrah dalam sebuah negara berbilang kaum, berbeza budaya dan menganut dan mengamal agama yang pelbagai.

Tiada kompromi

Dalam kepelbagaian itu, identiti nasional hendaklah dipertegaskan. Tiada kompromi yang boleh dibenarkan. Semua lapisan masyarakat perlu tegas, bukan sahaja mengharap kepada kerajaan untuk memperkasa nilai identiti negara atau identiti nasional ini.

Mana-mana parti politik, sebagai contoh, tidak boleh persoal identiti nasional. Perjuangan parti politik, perjuangan akademik, atau apa juga perjuangan yang dilaungkan oleh mana-mana kumpulan identiti nasional hendaklah dijadikan pedoman dan asas mereka.

Identiti nasional bukan milik dan tanggungjawab satu pihak. Ia milik semua. Adalah tanggungjawab semua pihak dan semua pihak itulah yang seharusnya bertanggungjawab membina dan mempertahankan identiti nasional berkenaan.

Masyarakat Melayu perlu berpegang kepada identiti nasional kerana semua prinsip itu adalah berteraskan bangsa dan agamanya. Bagi bangsa atau kaum lain pula, mereka hendaklah lebih terbuka dalam menerima identiti nasional. Bukalah sedikit ruang untuk menerima prinsip kenegaraan dan identiti nasional yang seharusnya menjadi payung kepada pembinaan negara bangsa.

Parti politik, walaupun berbeza ideologi perjuangan, hendaklah meletakkan identiti nasional bersandarkan kepada Perlembagaan dan nilai-nilai yang ada.

Oleh itu, masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya, tidak kira generasi tua atau generasi muda, tidak boleh berpura-pura mengenai identiti nasional. Kita perlukan kejituan dalam menentukan identiti nasional kerana ia adalah dasar kepada penyatuan. Identiti nasional hendaklah sama-sama diperkasa dan dirasa, bukan diperkata hanya untuk berpura-pura.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X