Rabu, 27 Januari 2016 | 11:02am

Reman dua anggota Geng Mamak disambung


DUA orang suspek Geng Mamak (berbaju oren) dibawa ke Mahmakah Majistret Taiping untuk permohonan sambung reman di sini. - Foto Supian Ahmad

TAIPING: Tempoh reman dua lelaki dipercayai anggota Geng Mamak disambung tujuh hari lagi bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Majistret Muhamed Ruhizat Abdullah membenarkan reman disambung ke atas suspek yang berusia 31 tahun dan 35 tahun sehingga 3 Februari ini, selepas permohonan dikemukakan oleh Asisten Superintendan Rahimi Abdul Rahman di Mahkamah Majistret, di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, kedua-dua suspek berkenaan direman lima hari, yang berakhir hari ini.

Mereka ditahan di kawasan Plaza Tol Changkat Jering, dekat sini, petang Jumaat lalu, manakala seorang lagi rakan mereka berusia 38 tahun ditembak mati.

Pada sidang media hari sama, polis mengesahkan kedua-dua suspek ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan curi kenderaan.

Rakan mereka yang ditembak mati pada jam 4.30 petang pada hari kejadian pula ada tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan rogol.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh, dilaporkan berkata, kira-kira jam 11 pagi sebelum itu, ketiga-tiga lelaki terbabit yang berasal dari sini, menaiki sebuah kereta Volkswagen Passat, yang turut disertai rakan mereka dalam sebuah BMW, menyamun seorang mangsa yang baru mengeluarkan wang dari bank di Rasah, Negeri Sembilan.

Berita Harian X