Rabu, 27 Januari 2016 | 7:22pm

Pekerja kilang maut kemalangan

GEORGETOWN: Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bayan Lepas, di sini, maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Aiman Shamsuddin, 23, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin, berkata siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa gagal memotong lori treler menyebabkannya terhimpit sebelum digilis lori berkenaan.

"Mangsa menunggang bersama seorang rakan dalam perjalanan menghala ke tempat kerjanya di Batu Maung.

"Mangsa yang digilis tayar belakang treler berkenaan maut di lokasi kejadian, manakala rakannya berusia 20-an hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Fah Hin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Akta 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X