Khamis, 28 Januari 2016 | 10:31am

42 ditahan terbabit judi dalam talian

PASUKAN Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman melakukan serbuan ke atas 13 premis di sekitar ibu kota, semalam.

KUALA LUMPUR: Seramai 42 individu dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian, ditahan dalam tempoh enam jam hasil serbuan di 13 premis sekitar ibu kota, yang berakhir jam 11 malam tadi.

Serbuan bermula jam 5 petang oleh Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman itu turut merampas 324 unit komputer, tiga buah telefon bimbit, dokumen, peralatan Internet dan wang tunai RM3,856.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata daripada 42 yang ditahan, 17 dikenal pasti sebagai penjaga premis, termasuk tiga wanita warga asing dan 25 orang lagi, termasuk tiga lelaki warga Indonesia adalah pemain judi.

"Kebanyakan premis yang diserbu didapati berselindung di sebalik perniagaan lain, termasuk pusat karaoke dan dikawal Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa serta mengenal pasti pemain.

"Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Cheras, Brickfields dan Kajang untuk siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala tangkapan warga asing mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Berita Harian X