Khamis, 28 Januari 2016 | 3:52pm

Nazim Othman, Bella Daly nikah tak lama lagi


NAZIM Othman dan tunangnya Bella Daly. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Jadual kerja padat sehingga akhir tahun, pelakon Nazim Othman perlu bijak mengatur masa untuk merancang hari pernikahannya bersama tunang tersayang, Bella Daly.

Sedang sibuk menyiapkan telefilem berjudul Bila Tiba Saatnya arahan Heykal Hanafiah, Nazim belum sedia mengumumkan tarikh pernikahan mereka.

Sebaliknya, pelakon drama Cinta Teruna Kimchi itu hanya memberitahu 'tidak lama lagi'.

"Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan telefilem Bila Tiba Saatnya. Saya pilih projek ini kerana suka dengan jalan ceritanya yang berkisar topik kematian.

"Selesai penggambaran, saya akan bercuti di Eropah. Mulai Mac, saya akan terbabit dengan telenovela La Loba membabitkan 120 episod. Saya akan berlakon bersama Amelia Henderson.

"Jadual saya memang padat. Jadi saya kena pandai curi masa dan 'selit' untuk persiapan majlis perkahwinan. InsyaAllah, tidak lama lagi. Doakan semoga apa yang dirancang berjalan lancar," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, kisah Bella sudah menjadi tunangan Nazim hangat diperkatakan netizen.

Nazim berkata, dia melamar Bella pada 26 Oktober lalu ketika mereka menjalani penggambaran drama Akulah Balqis di Langkawi. Seterusnya, pada 14 November lalu, Nazim menghantar rombongan meminang Bella di Kota Kinabalu.

"Alhamdulillah. Majlis pertunangan kami lancar walaupun niat kami hendak mendiamkan saja. Nampaknya, selepas dua bulan bertunang, orang mula 'hidu' dan tahu.

"Tapi kami tidak melihat perkara itu suatu isu. Benda baik, jadi tak kisah untuk dikongsi. Cuma bagi kami, pertunangan hanyalah fasa awal sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan," katanya yang mengaku dihujani pelbagai pertanyaan mengenai perancangan hari bahagia termasuk soal penajaan.

Nazim berkata, dia dan Bella tidak mahu terburu-buru apatah lagi sepanjang empat tahun perkenalan, mereka pernah putus seketika pada tahun 2014.

Ditanya mengenai tarikan yang dimiliki tunangnya itu, Nazim berkata:

"Dia calon isteri yang baik. Dia sangat lemah lembut dan datang dari keluarga yang baik. Dialah juga wanita yang boleh bertahan lama dengan saya. Kalau wanita lain belum tentu lagi. Dia ada bersama saya pada waktu senang dan susah.

"Saya tahu dia sangat ikhlas berdamping dengan saya. Ketika saya diuji dengan sakit, dialah yang menjaga dan bertanya khabar serta membawa makanan," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X