Sabtu, 30 Januari 2016 | 12:53pm

19 lagi penagih ditahan di Langkawi

LANGKAWI: Polis daerah ini menahan 19 lagi individu menerusi serbuan hari kedua Ops Tapis Bersepadu di lima kampung sekitar pulau ini sempena Jihad Perangi Dadah, semalam.

Dalam serbuan hampir empat jam bermula 4.30 petang itu, semua ditahan berusia antara 20 dan 41 tahun disyaki terbabit penyalahgunaan dadah, termasuk seorang wanita warga Thailand.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Kelibang, Bukit Malut, Keda Wang Tok Rendong, Bukit Tekoh dan Taman Nilam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata susulan tangkapan 30 suspek kelmarin, polis meneruskan operasi hari kedua semalam dan menahan 19 lagi suspek kes penyalahgunaan dadah dari lima kampung terbabit.

"Tangkapan terbaru itu menjadikan 49 orang ditahan menerusi Ops Tapis Bersepadu sempena Jihad Perangi Dadah setakat ini," katanya di sini.

Che Ghazali berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati 17 daripada mereka positif dadah.

"Turut dirampas daripada beberapa suspek ialah 1.4 gram (gm) dadah jenis heroin, 0.1gm syabu, tiga biji pil yaba, dua biji pil Eramin 5 dan air ketum 1,000 mililiter," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut.

Katanya, lima daripada suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala bakinya Seksyen 12(3) akta sama dan 9(1) Akta Racun 1952.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X