Ahad, 31 Januari 2016 | 12:33pm

Nazim perjelas isu berlakon watak Korea

KUALA LUMPUR: Beberapa hari sebelum drama terbaharu lakonan Nazim Othman, Cinta Teruna Kimchi, mula ditayangkan menerusi TV3 pada 28 Januari lalu, ramai pengikut Instagram pelakon itu yang mempersoalkan penerbitan naskhah berkenaan.

Dengan Nazim sendiri membawakan watak mahasiswa Korea bernama Kang Je Yun, mereka ingin tahu mengapa elemen asing perlu ditonjolkan dalam drama yang turut dilakonkan oleh Johan As'ari dan Risteen Munim itu?

"Ramai yang tidak faham mengenainya mula membuat ulasan tersendiri. Sejujurnya, untuk tajuk dan konsep drama ini, ia bukan atas kuasa saya. Itu semua di bawah kuasa penulis skrip, penerbit dan stesen TV.

"Saya hanya pelakon, jadi saya ambil ruang ini untuk memperbetulkan pelbagai tanggapan atas kapasiti sama. Ikutkan, sebagai pelakon sedari awal lagi saya suka konsep drama ini.

"Jika diikutkan juga, bagi pelakon yang memerlukan dirinya berbahasa asing daripada kebiasaan, ia satu cabaran.

"Tidak kiralah kalau kena berlakon loghat Utara dan dialek Kelantan, ia tetap cabaran. Apatah lagi dalam bahasa asing. Jadi dalam drama ini, saya cabar diri untuk berbahasa Korea. Ia bukan semudah yang disangka.

"Tetapi, dengan sokongan rakan lakon Korea dari sana, saya banyak belajar sebutan dan penyampaian daripada mereka," katanya.

Menjawab persoalan kenapa beliau dilihat ghairah berlakon dalam drama itu, Nazim yang sebelum ini memang dikatakan menggemari imej K-pop menjelaskan, pelakon dari Korea juga ada yang berlakon menggunakan bahasa Cina dan Inggeris.

"Saya lihat semua ini atas paksi menguji kredibiliti seseorang pelakon. Tidak mudah sebenarnya berlakon guna bahasa asing.

"Bagaimanapun, dengan latihan berbulan-bulan malah bertahun, pelakon Korea berjaya merealisasikan apa yang diingini produksi dan pengarah, termasuk keperluan berbahasa asing. Saya sendiri mahu kembangkan skop lakonan dan sebab itu saya terima cabaran berbahasa Korea untuk drama ini," katanya.

Nazim turut menjelaskan persoalan pengikutnya yang melihat penggunaan bahasa Melayu dalam drama itu kedengaran seperti bahasa Indonesia.

"Kata Nazim, ketika penggambaran diadakan di Universiti Hankuk di Korea, universiti terbabit mempunyai jabatan Bahasa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu Indonesia. Ia antara sebab kenapa sebutan Indonesia dikekalkan bagi drama terbabit.

"Ramai yang tidak tahu, penggunaan bahasa Melayu Indonesia diamalkan secara meluas di luar negara. Di Amsterdam (Belanda) sendiri, saya pernah dimaklumkan hal yang sama.

"Kebetulan rakan lakon saya dari Korea juga rata-ratanya daripada Jabatan Bahasa Melayu universiti itu. Ia antara sebab saya sendiri perlu berbahasa Melayu dengan pelat sebegitu untuk karakter Kang Je Yun," katanya.

28 dibaca
Berita Harian X