Ahad, 31 Januari 2016 | 3:08pm

Pintu PBSNT tertutup buat Dembele

KUALA NERUS: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat keputusan di saat akhir untuk tidak menandatangani kontrak penyerang kelahiran Mali, Makan Dembele yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, sebentar tadi.

Sebelum ini pemilihan pemain import keempat Terengganu itu mencetuskan rasa tidak puas hati segelintir penyokong skuad Penyu.  

Mereka mendakwa PBSNT melakukan kesilapan besar memilih penyerang kelahiran Bamako itu yang diibaratkan jelmaan bekas awang import sebelum ini, Javier Estupinan dari Colombia.  

Sehubungan itu, penyokong Terengganu hilang sabar bertindak menaikkan kain rentang sebagai tanda protes ketika menyaksikan  perlawanan persahabatan dengan Kuantan FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.

Ditanya adakah keputusan PBSNT membuat keputusan tidak mengikat Dembele disebabkan desakan penyokong, Arpin menegaskan itu bukan penyebab utama.

"Kita akui, Dembele adalah pemain yang terbaik daripada awang import datang menjalani pemilihan. Selagi kita tidak menandatangani kontrak, apa saja boleh berlaku.

"Jadi, berbaki 13 hari sebelum tarikh pendaftaran pemain tutup, kita akan berusaha mencari calon lain," katanya.

Berita Harian X