Khamis, 16 Oktober 2014 | 6:28pm

Kontinjen paralimpik Malaysia yakin atasi pencapaian 2010

PEMAIN bola keranjang Paralimpik negara, Hafizuddin Bahrin cuba menghalang pemain dari Hong Kong, Chong Ho Yin Dennis dalam perlawanan antara Malaysia menentang Hong Kong yang berkesudahan Malaysia menang dengan 52-36 sempena Kejohanan Sukan Para Asian yang akan bermula secara rasmi pada 18 hingga 24 Oktober ini di Samsan World Gymnasium di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

INCHEON: Penyertaan besar kontinjen negara di temasya Sukan Para Asia 2014 di sini bakal membuka peluang Malaysia merangkul lebih banyak pingat berbanding edisi lalu di Guangzhou, China, pada 2010.

Malah, ketua kontinjen negara, Datuk Ab Jalil Abdullah yakin cuaca sejuk di sini tidak akan mematahkan semangat 135 atlet paralimpik negara daripada menampilkan persembahan meyakinkan.

Kesemua atlet sudah cukup bersedia untuk mengatasi pencapaian sembilan emas, 13 perak dan 23 gangsa di Guangzhou, empat tahun lepas, katanya tanpa mendedahkan sasaran pingat kontinjen negara di sini.

"Atlet lebih bermotivasi dan bersemangat untuk menjuarai acara masing-masing...serta cuaca sejuk di sini tidak menghalang mereka daripada menjalani latihan di sini," katanya di sini, hari ini.

ATLET Paralimpik negara, Nasharuddin Mohamad (kiri) gigih menjalankan latihan pemanas badan bersama rakan-rakan seperjuangan sebelum berlangsungnya Kejohanan Sukan Para Asia yang akan berlangsung selama seminggu dari 18 hingga 24 Oktober ini. Nasharuddin Mohamad akan bertanding dalam acara 400m lelaki dalam kategori T20. - Foto BERNAMA

Pada edisi 2010, Malaysia menghantar 102 atlet dan jumlah kutipan pingat tersebut membolehkan Malaysia berada di tangga keenam daripada 51 negara yang bersaing pada temasya empat tahun sekali itu.

Pada edisi kali ini, lebih 6,000 atlet dan pegawai daripada 41 negara Asia bertanding dalam 23 acara sukan pada temasya yang membuka tirai secara rasmi, Sabtu ini.

Malaysia mengambil bahagian dalam 15 acara sukan iaitu badminton, berbasikal, boling padang, boccia, boling, memanah, olahraga, pelayaran, ping pong, powerlifting, renang, bola keranjang berkerusi roda, lawan pedang berkerusi roda, tenis berkerusi roda dan ragbi berkerusi roda. - BERNAMA

Berita Harian X