Isnin, 1 Februari 2016 | 7:01pm

MetMalaysia nafi cuaca sejuk melampau

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan suhu akan turun serendah 20 darjah Celsius seperti dilaporkan akhbar pada bulan ini.

Kenyataan dikeluarkan sebentar tadi menyebut, suhu bagi negara ini yang beriklim Tropika secara amnya adalah antara 22 darjah Celsius waktu awal pagi dan meningkat kepada 35 darjah Celsius pada waktu petang.

"Secara amnya, suhu minimum Januari lalu didapati lebih panas berbanding biasa.

"Peningkatan suhu ini adalah selari dengan jangkaan awal, iaitu kesan El-Nino kuat yang menyebabkan peningkatan suhu antara 0.5 hingga 2 darjah Celsius," katanya.

Sehubungan itu, MetMalaysia akan sentiasa memantau perkembangan berkenaan dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dengan menghubungi hotline 1-300-22-1MET (1638), laman sesawang dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Fenomena mengenai cuaca sejuk dilaporkan beberapa portal berita dan akhbar yang memetik MetMalaysia beberapa hari lalu dan tersebar di laman media sosial.

Berita berkenaan turut menyatakan penduduk di sekitar Perak dan Kelantan akan merasai cuaca sejuk dan nyaman ala musim bunga di London tidak lama lagi.

Berita Harian X