Rabu, 3 Februari 2016 | 6:19pm

Saham Asia susut dengan kejatuhan harga minyak

HONG KONG: Harga minyak menyelubungi sekali lagi pasaran Asia hari ini selepas jatuh semula di bawah paras AS$30 setong, memberi tekanan kepada firma tenaga dan menyebabkan saham terus berada dalam nada negatif.

Tokyo menerajui kejatuhan serantau, kemudian diikuti Hong Kong, dengan syarikat gergasi insurans, AIA jatuh hampir satu per sepuluh daripada nilai pada satu ketika berikutan kebimbangan China akan mengetatkan peraturan insurans.

China National Chemical Corp (ChemChina) hari ini membuat tawaran untuk membeli syarikat Switzerland, Syngenta berjumlah AS$43 bilion, yang akan menjadi rekod bagi pembelian luar negara oleh firma China.

Kejatuhan harga minyak ke paras terendah dalam tempoh 12 tahun menjejaskan pasaran global, yang menyebabkan kerugian bertrilion dolar penilaian saham dan malah meningkatkan kebimbangan kegawatan.

Harga minyak mentah memulakan semula corak aliran menurunnya minggu ini.

Kontrak penanda aras minyak mentah AS, West Texas Intermediate jatuh lebih 11 peratus pada Isnin dan Selasa dengan kembali ke paras di bawah AS$30 setong buat pertama kali sejak 21 Januari lalu.

Harga kontrak minyak mentah Brent jatuh hampir enam peratus dalam tempoh yang sama.

WTI naik 0.6 peratus dan Brent meningkat 0.4 peratus di dagangan lewat di Asia.

Harga minyak jatuh kira-kira 75 peratus sejak pertengahan 2014, terjejas berikutan kelemahan permintaan, lebihan bekalan, pertumbuhan perlahan ekonomi global dan pengukuhan dolar AS.

Saham firma tenaga terjejas dengan di Hong Kong, CNOOC susut empat peratus di dagangan lewat dan PetroChina merosot 4.1 peratus sementara Kunlun Energy jatuh 2.8 peratus.

Syarikat senaraian awam di Sydney, Santos jatuh 5.1 peratus dan syarikat gergasi perlombongan, BHP Billiton susut 4.4 peratus sementara Woodside Petroleum jatuh lima peratus.

Indeks Tokyo Nikkei jatuh 3.2 peratus pada penutup, Hong Kong ditutup 2.3 peratus lebih rendah, Sydney ditutup 2.3 peratus lebih rendah dan Seoul merosot 0.9 peratus.

Shanghai jatuh 0.4 peratus pada penutup. Terdapat juga kejatuhan merentasi pasaran Asia lain.

Pada dagangan awal di Eropah, London jatuh 0.2 peratus, Frankfurt susut 0.4 peratus dan Paris merosot 0.1 peratus. - AFP

-ends-

Berita Harian X