Jumaat, 17 Oktober 2014 | 8:11am

Nafkah anak tanggungjawab bersama


Anak sering jadi mangsa apabila berlaku perceraian. - Foto hiasan

Kes nafkah anak selepas ibu bapa berpisah tidak pernah selesai dibincangkan. Akhbar juga banyak melaporkan kes sebegini termasuklah dalam kalangan golongan terkenal.

Apabila berlaku perceraian, selalunya anak menjadi pihak yang paling menerima kesan. Mereka akan tinggal dengan salah satu pihak yang mendapat hak jagaan, selalunya ibu dan kemungkinan pada hujung minggu atau pada masa tertentu dibenarkan ke rumah bapa mereka.

Ada juga kes anak tinggal dengan ibu dan ayah tidak mengambil tahu langsung kebajikan anak. Sudahlah anak menerima kesan hebat pada kejiwaan mereka selepas ibu bapa bercerai, pengabaian daripada pihak bapa akan menambahkan beban serta tekanan kepada mereka.

Bapa terus jaga kebajikan anak selepas cerai

Jika kita prihatin terhadap anak yang menjadi penyambung warisan, seharusnya ayah akan terus mengambil berat kebajikan anak walaupun selepas perceraian. Pihak bercerai adalah ibu dan bapa atau suami isteri, tetapi hubungan darah antara anak dengan ibu bapa tidak akan putus.

Kebajikan serta keperluan anak tetap menjadi tanggungjawab ayah dan ibu yang akan dihisab Allah SWT di akhirat kelak. Malah, dari sudut pandang undang-undang keluarga Islam, anak mempunyai hak untuk menerima nafkah demi kesinambungan kehidupan yang lebih baik.

Apatah lagi selepas ibu bapa mereka tidak hidup bersama. Ini sudah dibincang oleh fuqaha terdahulu dalam banyak kitab tulisan mereka. Umumnya, kebanyakan ulama mengambil pandangan tanggungjawab memberi nafkah dan menyelenggara kanak-kanak adalah tanggungjawab bapa semata-mata.

Ini ditulis jelas dalam kebanyakan teks undang-undang berkaitan subjek itu dan telah ditegaskan oleh ulama terkemuka pelbagai mazhab termasuk Imam al-Shirazi daripada mazhab Shafie, Imam al-Marghinani (Mazhab Hanafi), Imam Ibn Qudamah (Mazhab Hanbali) dan Imam al-Dusuqi (Mazhab Maliki).

Fuqaha berkenaan mendasarkan pendapat mereka kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang hendak menyempurnakan penyusuan itu: dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Ia diterima secara umum bahawa pernyataan makan dan pakaian hendaklah ditanggung oleh bapa dengan cara yang sepatutnya adalah satu perintah menunjukkan suami atau ayah bertanggungjawab memberi nafkah serta menjaga kebajikan hidup isteri dan anak-anaknya.

Sarjana Islam juga menguatkan pendapat mereka dengan merujuk hadis yang melaporkan seorang isteri bernama Hind binti Utbah, telah datang kepada Nabi SAW dan membuat aduan terhadap suaminya iaitu Abu Sufyan.

Beliau mendakwa suaminya gagal menyediakan penyelenggaraan dan nafkah yang mencukupi untuknya dan anak-anak. Ketika bertemu Baginda, Hind berkata, "Abu Sufyan adalah kedekut. Dia tidak memberikan yang cukup untuk anak dan saya, kecuali saya mengambilnya secara diam-diam. Nabi kemudian berkata: Ambil apa yang anda dan anak perlu secara munasabah (bi al-makruf)."

Benarkan isteri ambil harta suami

Sarjana Islam berpendapat hadis ini menunjukkan aduan seorang isteri telah diambil serius oleh Rasulullah SAW. Baginda, bukan sahaja menerima aduan bahkan membenarkan isteri mengambil sejumlah daripada harta suami untuk menampung kos beliau dan anak walaupun tanpa pengetahuan suaminya.

Ulama, al-Shirazi berpendapat jika kewajipan untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak bukan semata-mata kepada suami, Rasulullah tidak akan memerintahkan Hind untuk berbuat demikian walaupun tanpa pengetahuan atau keizinan suaminya.

Nafkah anak wujud atas kedudukannya sebagai anak sementara tanggungjawab memberi nafkah merujuk kepada sejumlah wang yang dibayar untuk menampung keperluan mereka termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, rawatan perubatan dan pendidikan.

Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak (UNCRC) tahun 1989 menetapkan satu peruntukan khusus dalam Perkara 27: "Ibu bapa atau orang lain yang bertanggungjawab bagi kanak-kanak mempunyai tanggungjawab utama untuk memberi nafkah kepada kanak-kanak, dalam keupayaan kewangan mereka bagi menjaga perkembangan kanak-kanak."

Apabila kebanyakan sarjana Islam berpendapat bahawa tanggungjawab memberi nafkah berada di bahu ayah secara mutlak, UNCRC meletakkan kedua-dua ibu dan bapa atas kedudukan yang setaraf. Kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan hidup anak sesuai kemampuan mereka.

Tanggungjawab memberi nafkah ini kekal tanpa mengira status perkahwinan mereka walaupun selepas ibu dan ayah bercerai, sehingga anak mencapai dewasa serta mampu untuk menjaga kebajikan diri mereka sendiri.

Penulis ialah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam

347 dibaca
Berita Harian X