Rabu, 3 Februari 2016 | 9:50pm

Affizie tekad bantu skuad Penyu raih kejuaraan


MOHD Affize Faisal Mamat, (kanan).

KUALA TERENGGANU: Pendatang baharu dalam pasukan bola sepak Terengganu, Mohd Affize Faisal Mamat berazam mempamerkan prestasi terbaik bagi membantu skuad Penyu berada di kedudukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain berasal dari Kuala Berang itu, berkata ini adalah peluang terbaik mencurahkan bakat dan bakti kepada negeri kelahirannya selepas menyarung jersi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebelum ini.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata ia juga adalah landasan terbaik baginya mengembangkan bakat dalam bola sepak memandangkan Terengganu mempunyai ramai pemain berpengalaman serta berbakat.

"Memang sudah lama saya impikan untuk menyarung jersi pasukan Terengganu dan berbakti di negeri kelahiran, dan kali ini saya berpeluang melakukannya," kata beliau kepada Bernama.

Affize berkata, seperti pemain lain, dia juga memasang hasrat untuk membantu pasukannya membawa pulang salah satu piala berprestij ke negeri ini.

Dia yang menyertai Harimau Muda A bermula 2011 hingga 2012, berhijrah ke pasukan ATM dari 2013 hingga 2015.

"Saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan dapat membarisi kesebelasan utama...saya tidak akan mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan ini.

"Saya akan curahkan segala pengalaman bersama ATM dan Harimau Muda A bagi memastikan misi saya bersama pasukan Terengganu tercapai," katanya.

Sebelum ini, pasukan Terengganu mengikat kontrak tiga pemain baharu iaitu bekas ketua pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie; bekas pertahanan Kelantan, Amirizdwan Taj Tajuddin dan pertahanan Pulau Pinang, Yong Kuong Yong.

Selain itu, Terengganu turut menyambar bekas ketua pasukan ATM, Hairuddin Omar bagi memperkuatkan pasukan berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X