Jumaat, 5 Februari 2016 | 6:00am

Kemudahan ICT kaedah 'universiti masa akan datang'

ADAKAH 'universiti masa akan datang' tidak lagi memerlukan bangunan atau kemudahan infrastruktur yang besar dan hebat? Betulkah universiti ketika itu hanya beri keutamaan kepada kemudahan ICT yang lengkap dan canggih? Atau benarkah pensyarah tidak perlu lagi berdepan pelajar melalui kuliah atau tutorial kerana mereka boleh berkomunikasi melalui atas talian?

Demikianlah antara persoalan dibincangkan dalam sesi forum bertajuk 'University of the Future' anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya, baru-baru ini. Forum dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zaini Ujang. Ahli panel ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Openlearning.com, Adam Brimo dan Naib Canselor Universiti Terbuka Wawasan, Prof Datuk Dr Ho Sinn Chye.

Perubahan besar dari segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta sistem pengajian beberapa universiti di negara maju. Mereka guna kemudahan ICT sepenuhnya. Misalnya, pelajar boleh dapatkan nota syarahan hanya dengan melayari internet tanpa perlu berjumpa pensyarah kerana boleh bersemuka melalui 'video conferencing' atau 'skype.'

Perubahan ini memberi kesan positif kepada pelajar kerana ada lebih banyak masa dan dapat menyusun aktiviti pengajian. Tidak perlu menghadiri kuliah dan boleh belajar di mana sahaja. Segala tugasan dan kerja projek boleh dikirim melalui e-mel atau kaedah pengkomputeran lain kepada pensyarah.

Lima faktor

Ada lima faktor mempengaruhi perkembangan dan perubahan itu. Pertama, berlakunya pendemokrasian dan keterbukaan untuk kuasai ilmu pengetahuan. Perkembangan teknologi ICT beri peluang kepada siapa sahaja mendapatkannya melalui atas talian atau internet. Perkembangan ini mungkin menjejaskan peranan universiti sebagai institusi yang menyimpan dan menyebar khazanah ilmu pengetahuan.

Kedua, faktor persaingan dalam kalangan universiti untuk menambah pelajar terutama yang berbakat dan berkelulusan tinggi. Pada masa sama, universiti juga perlu kurangkan bajet dan perbelanjaan tahunan. Bagi memenuhi dua keperluan itu, strategi dan pendekatan baharu perlu diterokai. Satu caranya ialah dengan menyedia dan menggunakan kemudahan ICT secara meluas.

Ketiga, perkembangan teknologi digital membawa perubahan besar kepada industri media, hiburan, perkhidmatan dan pemasaran. Perubahan seterusnya dijangka berlaku kepada universiti. Perkembangan pesat teknologi digital berupaya mengambil alih tugas utama pensyarah sebagai penyampai ilmu. Maklumat diperoleh lebih mudah dan lebih cepat, menggunakan teknologi itu.

Keempat, melalui 'global mobility' dan 'global partnership', pelajar dan pensyarah berpeluang menambah ilmu dan mendapatkan pengalaman di institusi pengajian tinggi berlainan di seluruh dunia. Universiti juga berpeluang mendapat khidmat dan pengalaman pelajar dan pensyarah luar melalui program itu. Dijangkakan universiti jadi pusat tumpuan pelajar seluruh dunia yang ingin tambah pengalaman dan ingin cabaran baharu.

Kelima, pada masa akan datang integrasi dan usaha sama dengan pihak industri lebih kukuh kerana ia boleh meningkatkan inovasi dan kreativiti. Setiap universiti akan menjadikan bidang penyelidikan sebagai keutamaan. Kerjasama itu membolehkan universiti dapat lebih banyak dana dan pembiayaan untuk meningkatkan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Perkembangan baharu 'universiti masa akan datang' itu adalah selaras dan sesuai dengan 'sistem fleksi' yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan Tinggi yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Pelaksanaan sistem pembelajaran secara fleksi boleh dilakukan lebih berkesan jika pihak universiti menggunakan kemudahan teknologi digital secara meluas. Beliau mencadangkan satu kaedah yang boleh digunakan ialah memberi penekanan kepada 'gamification.'

Kaedah 'gamification' ialah pendekatan pembelajaran menggunakan pendekatan permainan video dan animasi. Kaedah ini lebih menarik, bersifat interaktif dan pembabitan cara dua hala sepenuhnya oleh pelajar berkenaan. Kaedah ini juga akan dapat mengembangkan bakat kerana ia membabitkan faktor kreativiti dan inovasi pelajar.

Di negara kita pihak Kolej Komuniti sudah melaksanakan program sama bermula 2010. Kajian mendapati program itu dapat maklumat balas positif. Di samping itu, MQA turut sokong pendekatan pembelajaran fleksi itu dengan memperkenal Kursus Atas Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOCs) yang beri pengiktirafan pertukaran kredit antara universiti.

Inisiatif ini membolehkan kursus di dalam dan luar negara didaftarkan dalam MOOCs untuk pertukaran kredit, membolehkan pelajar mendapat sijil, diploma dan ijazah dari universiti berlainan. Cara ini menggambarkan pendidikan tinggi negara mengorak langkah ke arah 'universiti masa akan datang yang memberi manfaat besar kepada pelajar dan negara kita.

Berita Harian X