Jumaat, 5 Februari 2016 | 7:13am

Urus perbezaan pendapat secara baik tidak bawa perpecahan


SEBAHAGIAN peserta Persidangan Meja Bulat Prinsip dan Kaedah Perbezaan Pandangan dalam Kerangka Ahli Sunah Wal Jamaah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto hiasan

KHILAF berkait dengan kepercayaan seseorang mengenai kebenaran dan disebabkan berpegang kuat kepada pandangan yang dipercayai benar itu, lalu ia menafikan pandangan pihak lain. Itulah khilaf yang banyak berlaku dalam masyarakat Islam di negara ini.

Oleh itu, kemukakanlah berapa banyak adab atau prinsip khilaf seperti berlapang dada pada hal bersifat cabang, mencari ruang harmoni, menjauhi taksub, berdialog secara rasional dan ikhlas mencari kebenaran, masing-masing dilihat cenderung untuk mempertahankan apa yang dipercayai benar pada mereka.

Akibatnya, perbezaan pandangan yang sepatutnya menjadi rahmat kepada masyarakat akhirnya mencetuskan perbalahan, perselisihan dan perpecahan. Nampaknya tidak ada ikhtilaf yang bermatlamat untuk memperoleh ilmu apabila kebenaran tidak dipedulikan.

Sememangnya perbezaan pandangan adalah realiti yang tidak dapat dielakkan di mana sahaja tetapi perbezaan itu sepatutnya menjurus kepada perkara yang sihat, memberi manfaat serta membuka spektrum ilmu lebih luas.

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Sharhan, berkata masalah yang berlaku adalah disebabkan pihak yang berbeza pandangan tidak memahami prinsip atau sifat perbezaan pandangan yang mereka hadapi itu.

Katanya, yang dipertikaikan itu adalah perkara furuk atau cabang sahaja tetapi diangkat menjadi perkara besar, kepada persoalan iman dan kufur hingga menyebabkan perselisihan serta perpecahan yang merosakkan.

"Masyarakat perlu dididik kerana jika ada budaya ilmu yang kuat, mereka akan tahu isu mana yang hendak ditepis dan isu mana perlu diberi perhatian. Jika masyarakat ada budaya ilmu yang baik dan faham mana perkara usul dan furuk, mereka tidak akan layan isu sampingan.

"Tetapi selagi martabat ilmu masyarakat tidak diangkat, tidak tahu beza mana usul dan furuk, maka perselisihan serta perbezaan tidak mampu diselesaikan," katanya pada Persidangan Meja Bulat Prinsip dan Kaedah Perbezaan Pandangan dalam Kerangka Ahli Sunah Wal Jamaah, anjuran IKIM.

Persidangan meja bulat itu bertujuan melihat ruang ilmu yang ada dalam membincangkan ikhtilaf menurut pandangan ilmuwan Ahli Sunah Wal Jamaah dan prinsip perlu dipegang apabila berbeza pandangan. Perbincangan juga asas dibenarkan untuk berikhtilaf dalam bidang ilmu tertentu.

Membentangkan kertas kerja bertajuk Prinsip dan Adab Dalam Perbezaan Pandangan Dalam Islam, Mohd Farid membariskan sembilan prinsip dan adab menangani perbezaan pandangan iaitu mengutamakan dalil serta hujah untuk memperkukuhkan pandangan.

Seterusnya, keseimbangan antara kejumudan dan keterbukaan, memahami keutamaan dalam perbezaan pandangan, berlapang dada atas perbezaan yang bersifat cabang, mencari ruang keharmonian, mendalami kepelbagaian makna istilah, menjauhi taksub, berdialog dengan rasional dan ikhlas mencari kebenaran.

Keluar hukum ketat

Menurutnya, antara cabaran pada zaman ini ialah kecenderungan sebahagian pihak yang ketat dan literal dalam mengeluarkan hukum hingga menyusahkan masyarakat Islam sementara terdapat kelompok yang begitu longgar hingga merungkai perkara yang disepakati serta diijma'kan ulama.

"Walaupun prinsip asas ilmu paling penting tetapi kadang-kadang dalam proses berbeza pandangan masuk elemen akhlak, hawa nafsu, kepentingan kelompok atau individu tertentu yang akhirnya mencacatkan perbahasan yang sepatutnya terbatas pada hal ilmu dan menjaga adab.

"Jika masing-masing memahami kaedah dan prinsip dalam konteks baik iaitu tidak membawa kepada perbalahan, perbezaan pandangan akan tetap kekal sebagai sesuatu yang memberi rahmah kepada masyarakat," katanya.

Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Saadan Man, berkata ikhtilaf dalam masyarakat Islam di Malaysia walaupun terkawal tetapi jika tidak diuruskan dengan baik akan membawa satu fenomena negatif kerana ia menimbulkan bibit perpecahan dan pertelingkahan.

Katanya, permusuhan dalam kalangan umat Islam disebabkan kegagalan memahami serta menguruskan perbezaan pandangan. Perbezaan itu tidak boleh dihapuskan secara sempurna tetapi boleh diminimumkan supaya perbezaan itu diuruskan dengan baik dan tidak menjadi punca perpecahan.

Membicarakan tajuk Prinsip dan Kaedah dalam Menangani Perbezaan Mazhab, beliau menjelaskan antara faktor dapat mendekatkan orang yang saling berselisih pendapat ialah sikap menjauhi permusuhan serta menganjurkan perdebatan dengan cara baik.

"Sikap tidak mencela dan menyakitkan hati orang lain yang berbeza pendapat serta bersedia meminta maaf boleh menyempitkan jurang perbezaan pendapat. Sikap ini penting kerana ada yang tidak sependapat dengan kita berada di pihak yang betul. Ini masalah ijtihad yang tidak pasti mana pendapat benar.

"Manhaj ini diikut ulama terdahulu apabila berlaku khilaf dalam ijtihad. Walaupun berbeza pendapat mereka tidak pernah saling mencela. Adalah menyedihkan apabila ada golongan yang berdialog dalam masalah ilmu dan agama dengan niat perang bukan mencari kebenaran," katanya.

Hindar perbincangan beremosi

Beliau berkata, berdialog sepatutnya dalam suasana ilmiah, tenang serta tidak emosi manakala penggunaan bahasa kasar dan ungkapan keras perlu dielakkan. Ungkapan keras tidak akan menghasilkan apa-apa sebaliknya melukai perasaan orang lain.

Mengambil isu bidaah yang dilihat tidak ada noktahnya, beliau berkata, isu bidaah sudah dibahaskan ulama silam sejak ribuan tahun dahulu dan isu dianggap sebagai isu kitar semula atau ulang tayang itu tidak akan ada kesudahan selagi ia diperdebatkan oleh pihak yang menyokong dengan yang menentang.

Saadan berkata, umat Islam sepatutnya memberi tumpuan kepada isu lebih utama seperti krisis akidah yang berlaku seperti penolakan agama serta lebih ramai umat Islam tidak solat kerana ia adalah isu asas daripada bertelagah mengenai perkara sunat.

Katanya, kefahaman jitu mengenai hakikat ikhtilaf serta penghayatan terhadap prinsip dan adab berbeza pandangan perlu dalam masyarakat kini kerana pengabaian terhadap perkara itu boleh membantutkan agenda merawat serta membangunkan ummah.

Berita Harian X