Sabtu, 6 Februari 2016 | 12:04am

Ujian pap smear boleh cegah kanser serviks


PERUNDING Ginekologi dan Prof Klinikal Tambahan, Dr Suresh Kumarasamy (kiri) dan Prof Perbidanan dan Sakit Puan, Universiti of California Irvine Amerika Syarikat, Prof Dr Krishnansu S Tewari. - Foto Aziah Azmee

JIKA kanser payudara digeruni ramai wanita, kanser serviks atau kanser pangkal rahim tidak terkecuali menjadi 'mimpi ngeri' yang paling ditakuti.

Mana tidaknya, semakin meningkat usia seseorang wanita, semakin tinggi risiko mereka diserang kanser serviks. Laporan kesihatan dunia menunjukkan seorang wanita meninggal dunia akibat kanser serviks dalam setiap dua minit.

Perunding Ginekologi dan Prof Klinikal Tambahan, Dr Suresh Kumarasamy, berkata kanser serviks adalah penyakit yang meninggalkan ketakutan kepada wanita di seluruh dunia.

Punca kanser servik kata beliau, masih tidak diketahui hingga kini. Kanser serviks tidak meninggalkan sebarang gejala atau rasa sakit pada permulaannya.

Kanser ini katanya, disebabkan pelbagai faktor, antaranya jangkitan kuman papillomavirus (HPV) iaitu penyakit kelamin, kurang menjaga kebersihan alat sulit, mempunyai ramai pasangan seks, memulakan hubungan seks pada usia muda, merokok dan beberapa sebab lain.

Ujian pap smear kesan virus

"Wanita yang tidak pernah menjalani ujian pap smear boleh dikategorikan sebagai golongan berisiko menghidap kanser serviks. Kajian menunjukkan ujian pap smear boleh mencegah kanser itu," katanya pada majlis pelancaran Avastin (bevacizumab) sebagai terapi bersasar bagi kanser serviks yang berterusan, berulang atau metastatik.

Mengulas mengenai kanser itu, Dr Suresh berkata, kanser serviks adalah antara kanser yang semakin kerap dihidapi wanita sekarang ini

Setiap tahun, beliau berkata, ramai penghidap kanser servik meninggal dunia kerana tindakan mereka lambat mengesan serangan yang merebak secara diam.

"Kebanyakan kanser serviks menyerang tanpa gejala awal menyebabkan sebahagian wanita yang hidup dengan penyakit ini mengalami tekanan perasaan akibat kehilangan kerja dan terpaksa bergantung hidup serta bantuan daripada keluarga terdekat," jelasnya.

Tingkat jangka hayat mangsa

Kanser serviks adalah serangan keempat paling kerap berlaku ke atas wanita di seluruh dunia dan ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia. Dianggarkan purata hampir 1,000 kes dikenal pasti setiap tahun.

Ketika ini wanita berdepan risiko yang bertambah selepas mereka mencecah usia 30 tahun serta paling kerap dikesan sekitar usia 65 hingga 69 tahun.

Prof Perbidanan dan Sakit Puan, Universiti of California Irvine Amerika Syarikat, Prof Dr Krishnansu S Tewari, berkata kajian Kumpulan Onkologi Ginekologi (GOG), wanita yang menerima Avastin iaitu ubat terbaharu merawat kanser.

"Pengambilan Avastin bersama kemoterapi mempunyai kadar jangka hayat keseluruhan meningkat 24 peratus dan hidup pada kadar median 3.5 bulan lebih lama berbanding mereka yang melakukan kemoterapi sahaja.

"Median kelangsungan hidup keseluruhan adalah 16.8 bulan dengan Avastin dan kemoterapi berbanding 13.3 bulan untuk rawatan kemoterapi sahaja.

"Wanita yang menerima Avastin dan kemoterapi mengalami pengurangan risiko perkembangan penyakit itu atau kematian sebanyak 32 peratus berbanding apabila menggunakan kemoterapi sahaja.

"Kajian menunjukkan wanita yang menerima Avastin bersama kemoterapi mempunyai kadar pengecutan ketumbuhan lebih tinggi (48) peratus berbanding mereka yang menerima rawatan kemoterapi (36 peratus)," katanya.

Lewat kesan, sukar dirawat

Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM) dalam penyelidikannya mendapati, lebih 11,000 wanita disahkan menghidap kanser serviks atau pangkal rahim setiap tahun, terutama dalam kalangan wanita muda berusia lewat 30an.

Situasi ini membimbangkan kerana setiap tahun, lebih 5,000 penghidap kanser serviks meninggal dunia berpunca daripada kelewatan mengesan sel kanser yang merebak ke peringkat akhir.

Kanser serviks boleh dicegah jika seseorang wanita itu menjalani kehidupan sihat dan tidak terjebak dengan aktiviti sosial, misalnya minum arak, merokok, memulakan aktiviti seksual pada usia terlalu muda, bertukar-tukar pasangan dan kurang mengambil berat penjagaan kebersihan alat sulit.

TANDA DAN GEJALA

  • Pendarahan ketika melakukan hubungan seks
  • Pendarahan pada pertengahan bulan
  • Pendarahan selepas menopaus
  • Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks

WANITA BERISIKO

  • Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
  • Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun
  • Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV
  • Kurang daya tahan penyakit
  • Merokok
  • Wanita yang pernah dijangkiti jenis HPV dan badan tidak mampu membersihkan virus berkenaan
  • Berusia antara 35 hingga 55 tahun

Lebih separuh wanita yang didiagnosis menghidap penyakit ini

  • Kebanyakan mereka terdedah kepada penyebab kanser HPV ketika masih remaja dan pada usia 20-an.
  • Lebih ramai wanita yang dijangkiti tidak pernah membuat ujian pap smear.

KEPENTINGAN UJIAN PAP SMEAR

  • Kanser serviks terjadi dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Ia boleh dicegah jika dikesan pada peringkat awal.
  • Ujian pap smear adalah kaedah mudah mengesan perubahan sel bahagian rahim

SIAPA MEMERLUKAN RAWATAN INI?

  • Semua wanita berumur antara 20 hingga 65 tahun
  • Wanita yang aktif atau pernah aktif dalam aktiviti seksual
  • Wanita yang putus haid atau menopaus

BERAPA KERAP UJIAN INI DILAKUKAN?

  • Ujian ini hendaklah dilakukan tiga tahun sekali

BILA MASA TERBAIK UNTUK MENJALANI UJIAN INI?

  • Ketika pertengahan pusingan haid atau 10 hari selepas kedatangan haid
  • Bukan ketika datang haid

DUA JENIS BARAH PANGKAL RAHIM (SERVIKS)

  • Squamous cell carcinoma

Barah pangkal rahim yang sering berlaku. Serangan bermula dari dalam sel skuamus atau kulit seperti sel di pangkal rahim.

  • Adenocarcinoma

Jenis barah pangkal rahim yang jarang berlaku. Ia bermula dari dalam sel glandular. Selain itu, barah pangkal rahim boleh dibahagikan kepada microinvasive atau invasive.

Berita Harian X