Sabtu, 6 Februari 2016 | 8:15am

Trafik sesak luar biasa

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik dilaporkan perlahan di beberapa lebuh raya utama negara terutama menuju ke utara dan pantai timur bermula malam tadi dan dijangka berlarutan hingga lewat hari ini.

Ia berikutan orang ramai mula meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung dan destinasi percutian sejak petang semalam sempena cuti panjang sambutan Tahun Baharu Cina, Isnin ini.

PLUS Berhad menerusi laman Twitter @plustrafik melaporkan, trafik di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara perlahan dari Sungai Buloh ke Rawang, Bukit Tagar ke Lembah Beringin, Slim River ke Sungkai dan Tapah ke Gopeng, setakat jam 7.45 pagi tadi.

Satu kemalangan turut dilaporkan berlaku pada jam 6.48 pagi tadi di Hutan Kampung ke Jitra, yang menyebabkan lorong kiri terhalang, namun trafik terkawal.

@plustrafik turut melaporkan kesesakan berlaku di Terowong Menora menuju ke Sungai Peran dan Jelapang.

Di selatan, keadaan trafik di Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura menuju ke Johor Bahru turut mengalami kesesakan.

Untuk perjalanan ke arah pantai timur melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), trafik dilaporkan mula sesak di MRR2 dari Sri Gombak dan Genting Klang menuju Plaza Tol Gombak.

LPT menerusi laman Twitter @LPTTrafik melaporkan kesesakan trafik berlaku di kawasan mendaki di Kilometer (KM) 41 hingga KM52 arah ke pantai timur selepas satu daripada tiga lorong di situ terhalang dan menasihatkan pengguna untuk menangguhkan perjalanan jika perlu.

Berita Harian X