Sabtu, 6 Februari 2016 | 11:36am

Terengganu tak jadi lamar Sergio Oscar

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan menarik balik tawaran kepada penyerang kelahiran Argentina, Sergio Oscar Almiron, untuk mengisi kekosongan pemain import keempat skuad Penyu.

Keputusan itu dibuat selepas penyerang berusia 30 tahun itu tidak hadir hari ini seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata pihaknya dimaklumkan pemain itu tidak dapat datang hari ini kerana perlu bermain dengan pasukannya, Oriente Petrolero, dalam Liga Bolivia dan dijangka tiba pada 13 Februari ini.

Katanya, pihaknya tidak dapat menerima alasan diberikan ejen Almiron kerana tarikh itu adalah perlawanan pembuka tirai saingan Liga Super antara Terengganu dan Pulau Pinang.

"Kita hanya memberi peluang kepada Almiron sehingga hari ini, tapi dia tidak dapat datang. Jadi, kita sudah menghantar e-mel kepada ejen dengan menarik semula tawaran.

"Bagi mencari penyelesaian, kita akan mengadakan perbincangan khas bersama pegawai pasukan membabitkan pengurus pasukan dan ketua jurulatih bagi membuat keputusan mengenai awang import keempat," katanya kepada BH Sukan, di sini.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan PBSNT membuat tawaran rasmi kepada pemain kelahiran San Nicolas De Los Arroyos, Argentina itu menyarung jersi skuad Penyu.

Malah, tawaran yang dibuat melalui ejennya meminta Almiron datang ke negeri ini menjalani pemeriksaan kesihatan, hari ini.

Ditanya kelibat seorang lagi awang import kelahiran Argentina, Guido Carloni, Arpin berkata penyerang berusia 21 tahun itu dibawa seorang ejen tempatan untuk menjalani pemilihan.

15 dibaca
Berita Harian X