Sabtu, 6 Februari 2016 | 3:31pm

Lebuh raya djangka sesak hingga lewat petang

KUALA LUMPUR: Laluan ke utara, pantai timur dan selatan di beberapa lebuh raya utama, masih sesak dengan kenderaan dan keadaan itu dijangka berlarutan sehingga lewat petang ini.

PLUS Berhad menerusi laman Twitter @plustrafik melaporkan berlaku kesesakan teruk di beberapa lokasi menuju arah ke utara dan selatan susulan beberapa kemalangan.

Kemalangan pertama dilaporkan berlaku pada jam 12.56 tengah hari di Kilometer (KM) 206 arah selatan dari Simpang Ampat ke Ayer Keroh, diikuti di KM90 arah ke utara dari Sungai Petani ke Gurun.

Satu lagi kemalangan dilaporkan di KM115 arah selatan dari Sungai Petani ke Bertam pada jam 1.40 tengah hari tadi.

"Trafik perlahan dari Hospital Sungai Buloh menuju ke Rawang, Behrang ke Hentian Ladang Bikam, R&R Tapah ke Gopeng dan Nilai ke Senawang

"Trafik ke arah selatan pula perlahan dari arah Seremban ke Senawang, Jejantas Ayer Keroh menuju ke Hentian Bemban, Yong Peng ke Pagoh dan dari Skudai ke Kulai," katanya.

Kesesakan turut berlaku di laluan arah dari Seremban-Hentian Senawang, Simpang Ampat ke Ayer Keroh dan dari Skudai ke Kulai.

Trafik di Jambatan Pulau Pinang ke Prai juga dilaporkan sibuk, selain di Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura menuju ke Malaysia.

Sementara itu, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi laman Twitter @LPTTrafik melaporkan, trafik bergerak perlahan menuju ke Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong hala ke timur.

Kesesakan dilaporkan berlaku dari KM44 (Bukit Tinggi) hingga ke KM65 (Bentong) hala ke timur, ditambah dengan cuaca hujan.

Berita Harian X