Sabtu, 6 Februari 2016 | 5:58pm

Fara Fauzana masih setia bersama Hot FM

KUALA LUMPUR: Sedekad bersama Hot FM, Fara Fauzana mengakui perjalanan panjang itu membantu membentuk dan mematangkan dirinya sebagai antara barisan penyampai radio serta pengacara terbaik negara.

Menyertai Hot FM pada 6 Februari 2006, Fara yang pernah mengendalikan program televisyen popular iaitu Melodi dan Nona berkata, stesen radio itu umpama cermin yang sentiasa mengingatkannya kepada getir yang terpaksa dilaluinya ketika mula mencipta nama.

Bersyukur kerana masih diberi peluang berkongsi bakat dan suara, Fara berkata Hot FM juga membantunya mendaki puncak kerjaya apabila lapan kali dinobatkan sebagai Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang sejak memenanginya buat kali pertama pada musim ABPBH 2007.

"Saya menimba banyak pengalaman suka dan duka bersama Hot FM. Kami bermula dengan konti kecil, namun semangat untuk memberikan yang terbaik tidak pernah padam. Meskipun Hot FM kini sudah selesa, namun banyak kenangan yang membuatkan hati saya terusik setiap kali mengingatinya.

"Saya terharu kerana sokongan berterusan pendengar membawa Hot FM ke tahap ini. Sambutan ini mengingatkan saya bukan hanya kepada teman penyampai yang lain, tetapi setiap individu yang sentiasa percaya dengan kemampuan kami untuk berjaya dan bertahan.

"Tidak kira siapapun mereka, sumbangan yang diberi membantu meneruskan survival Hot FM," katanya.

Fara berkata, sedekad itu juga menemukan mereka dengan perjalanan naik dan turun malah menyaksikan peralihan barisan penyampai, tetapi perubahan yang dilakukan meninggalkan impak tersendiri.

Meskipun sebelum ini terdengar pelbagai desas-desus mengenai statusnya bersama Hot FM, Fara berkata kesetiaannya bersama stesen itu tidak pernah bernoktah.

"Lumrah apabila penyampai bertukar ganti. Namun, pada masa sama, kami mengalu-alukan kehadiran muka baharu kerana mereka membantu menyuntik kesegaran kepada Hot FM. Alhamdulillah, selepas 10 tahun saya masih relevan dan kekal di sini. Saya terlalu sayangkan Hot FM," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim, berkata persaingan dari stesen radio lain menjadi pembakar semangat untuk menyemarakkan lagi industri penyiaran dengan pelbagai idea kreatif yang menarik pendengar.

"Penting bagi kami untuk memenuhi cita rasa pendengar menerusi isi kandungan dan muzik yang disajikan. Semua tuntutan itu dipenuhi menerusi siri kajian yang dilakukan bersama pendengar. Kami juga aktif berinteraksi dengan mereka di ruangan digital seperti Instagram, Facebook, Twitter dan YouTube.

"Kami juga cuba menawarkan sesuatu yang baharu dari masa ke semasa seperti menganjurkan festival muzik 12 jam iaitu Hot FM Big Jam, memperkenalkan format Cool FM selama sehari selain persembahan Mash Up yang menggabungkan lagu nyanyian artis terkenal.

"Harapan kami, Hot FM akan terus kekal relevan di hati pendengar setia dan baharu. Kami juga akan terus memberikan sesuatu yang berlainan tanpa menjejaskan identiti asal yang diperjuangkan Hot FM selama ini," katanya.

Sempena sambutan 10 tahun, Hot FM turut mengadakan pelbagai aktiviti seperti Hot FM Ronda Ronda bersama penyampai radio dan artis undangan di 10 lokasi berbeza selama 10 jam.

"Pendengar berpeluang memenangi 10 hadiah menarik yang ditawarkan dengan pembabitan artis seperti Mark Adam, Elizabeth Tan dan Drama Band untuk merancakkan lagi aktiviti ini," katanya.

Berita Harian X