Selasa, 9 Februari 2016 | 4:17pm

Enjin tren Ekspres Rakyat terbakar, penumpang selamat

KEADAAN gerabak enjin tren Ekspres Rakyat yang terbakar di atas landasan setinggi lebih lima meter berhampiran Stesen Komuter Sungai Gadut di Seremban, hari ini.
KEADAAN gerabak enjin tren Ekspres Rakyat yang terbakar di atas landasan setinggi lebih lima meter berhampiran Stesen Komuter Sungai Gadut di Seremban, hari ini.

SEREMBAN: Seramai 310 penumpang cemas apabila gerabak enjin tren Ekspres Rakyat terbakar di atas landasan setinggi lebih lima meter, berhampiran Stesen Komuter Sungai Gadut di sini, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ridhwan Arshad, berkata semua penumpang tidak mengalami kecederaan kerana kebakaran hanya membabitkan bahagian gerabak enjin dalam kejadian jam 2.20 petang itu.

"Kereta api dari Johor Bahru ke Butterworth itu berhenti di atas landasan sebelum api marak di bahagian gerabak menempatkan enjin, namun bomba berjaya memadamkannya tidak lama kemudian.

"Kita sedang menguruskan kereta api gantian supaya penumpang dapat meneruskan perjalanan mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, berkata semua penumpang dibenarkan turun dan berjalan ke Stesen Komuter Sungai Gadut yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, pemandu kereta api cedera ringan apabila tapak tangannya melecur.

"Kita menerima panggilan kecemasan jam 2.35 petang dan menghantar tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Senawang dan Rembau. Mereka berjaya mengawal api daripada merebak ke gerabak lain," katanya.

Berita Harian X