Rabu, 10 Februari 2016 | 12:10am
DATUK Aziz Deraman.

Ketua Pengarah DBP tak semestinya 'orang sastera'


JUERGEN Klopp. - Foto EPA

KERUSI Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memang hangat walaupun sudah tentu tidak sepanas jawatan seperti Menteri Besar yang menyaksikan penyandangnya di Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan melepaskan jawatan itu, semalam.

Setiap tokoh yang menakhodai DBP bermakna beliau juga perlu menerajui dunia sastera dan bahasa atau sekurang-kurangnya antara watak utama yang mengepalai ranah berkenaan yang boleh dikatakan tidak sunyi daripada isu, polemik serta kontroversi.

Pada tahun ini saja, dunia sastera dan pendidikan dipanaskan kembali dengan isu teks Komponen Sastera (KOMSAS), selain polemik Program Dwibahasa (DLP) terus berlanjutan.

Industri buku tanah air pula tidak terlepas daripada terkena impak kelesuan ekonomi dunia yang memberikan kesan kepada daya beli pengguna, apatah lagi DBP sendiri baru saja mengambil alih fungsi pengkomersialan penerbitan selama 15 bulan.

Justeru, pengisian jawatan Ketua Pengarah DBP selepas penyandangnya, Datuk Dr Awang Sariyan menamatkan perkhidmatannya pada Ahad lalu sangat penting bukan saja keperluan untuk wujudnya pengisi, bahkan perlu mengambil kira ketokohan dari pelbagai aspek.


DATUK Dr Awang Sariyan.

Khalayak harap 'orang sastera'

Memang dalam kalangan khalayak sastera, ada yang mengharapkan jawatan itu diisi oleh 'orang sastera' meskipun dalam sejarahnya tidak semua peneraju badan berkanun itu datang dari rahim kesusasteraan.

Bagaimanapun, sejarah juga mencatatkan latar belakang kesusasteraan bukanlah kayu ukur mutlak yang dapat menjamin ketokohan penerajunya.

Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail sebagai contoh ialah mantan Speaker Dewan Rakyat dan ketokohannya disegani dalam konteks bahasa dan sastera, apatah lagi pada zamannya juga menyaksikan Peristiwa Keranda 152.

Allahyarham Datuk Hassan Ahmad pula boleh dianggap intelektual Melayu yang pernah menjadi Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, selain memang tekal memperjuangkan bahasa Melayu.

Dalam senarai Ketua Pengarah DBP yang mutakhir, Awang sendiri ialah ahli linguistik, manakala penyandang sebelumnya, Datuk Termuzi Aziz pula datang dari pentadbiran dalam pendidikan.

Mungkin dari dunia sastera ialah manakala Ketua Pengarah sebelumnya ialah Datuk Aziz Deraman pula daripada pentadbiran dalam kebudayaan yang juga dikenali sebagai penyair.


DATUK Termuzi Aziz.

Fahami tanggungjawab bahasa, sastera

Justeru sama ada tokohnya 'orang sastera' atau tidak, ia bukan menjadi faktor utama sebaliknya ketokohan dan keupayaan menerajui DBP serta pada masa, mampu memahami tanggungjawab dalam kebahasaan dan kesusasteraan melalui hubungan berterusan dengan khalayak terbabit.

Kejayaan tokoh itu dalam memimpin DBP tidak diukur dengan menjadi penyair atau pengarang sesudah memegang jawatan berkenaan, sebaliknya keupayaan menyediakan lingkungan yang berdaya maju untuk mengangkat sastera kebangsaan di tanah airnya sendiri dan pada peringkat antarabangsa.

Dalam aspek bahasa sudah tentu, tanggungjawabnya bertepatan dengan objektif dan falsafah bukan saja seperti yang tercatat dalam Akta DBP, bahkan dengan semangat yang melahirkan badan berkanun itu.

Di sebalik kelesuan ekonomi, penerbitan buku tentu menjadi cabaran dan kita mengharapkan karya kesusasteraan, persuratan dan keintelektualan tetap diutamakan kerana kepentingan sumbangannya dalam pembinaan ketamadunan.

Justeru, kita mengharapkan tokoh yang bakal meneruskan perjuangan bahasa dan sastera itu memiliki kelebihan yang pernah diperlihatkan peneraju sebelumnya, sekali gus berupaya mengatasi kelemahan dan kesilapan yang pernah berlaku.

15 dibaca
Berita Harian X