Khamis, 11 Februari 2016 | 5:41pm

ABPBH : Tema #RESPEK suntik kesedaran kepada masyarakat - Zara


PELAKON berbakat, Zara Zya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat, Zara Zya, 30, mengakui kejayaan merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 membantu membuka ruang lebih besar untuknya bertapak dalam dunia seni.

Bukan sekadar memberikan dirinya semangat lebih membara untuk meneruskan langkah dalam arena lakonan, malah pengiktirafan hasil undian peminat itu juga membolehkan namanya kekal mekar dalam industri hiburan sehingga kini.

"Anugerah yang diterima pada ABPBH 2013 itu menjadi pemangkin dan pembuka jalan untuk saya melangkah ke hadapan. Saya pula bukan artis yang mencipta nama dengan mudah. Lebih sedekad menceburi dunia seni, namun hanya sejak kira-kira tiga tahun barulah nama saya dikenali.

"Drama Love You Mr Arrogant yang ditayangkan pada 2013 benar-benar memberikan kesan besar buat diri saya. Malah, selepas kemenangan pada ABPBH terbabit, saya terus mendapat pengiktirafan pada Anugerah Meletop Era dan Anugerah Drama Festival KL.

"Sedikit sebanyak, anugerah ini membuka mata ramai pihak mengenai kehadiran saya. Jadi, saya perlu berterima kasih kepada pihak BH dan ABPBH yang menganjurkan acara itu.

"Sokongan peminat hingga saat ini juga menjadi bukti saya harus bekerja kuat bagi menghiburkan mereka. Kemenangan itu tentunya bukan alasan untuk saya terus berada di takuk lama," kata pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini.

Dilihat sedikit perlahan rentaknya tidak lama selepas kemenangan itu, Zara mengakui dirinya terus aktif berlakon, tetapi tumpuannya lebih kepada telefilem.

Begitupun, kemunculan drama seperti Zahira bergandingan dengan Adi Putra, Dan Calonnya Adalah 2 serta Tuan Anas Mikael di sisi Aaron Aziz kembali menghangatkan nama pelakon wanita ini.

Pada masa sama, kontroversi juga tidak terlepas daripada terpercik ke tubuh Zara. Antaranya, beliau difitnah menjalinkan hubungan dengan pengarah bagi mendapatkan watak utama sebuah drama, selain dikatakan 'bermulut jahat' apabila menjaja cerita tidak elok mengenai pelakon lain.

"Bukan saya tidak berlakon selepas kejayaan itu, apatah lagi kerjaya seni dilihat lembap kerana badi. Sebaliknya, saya lebih banyak berlakon telefilem. Lagipun, pada masa sama saya mahu bertenang daripada cerita panas. Saya sudah penat! Saya tidak mahu kontroversi lagi.

"Saya hanya mahu drama dan lakonan saya menjadi bualan, bukan gosip yang mengusutkan fikiran," kata pelakon yang kini meletup dengan drama Cinta Hati Abah siaran TV3 itu.

Ditanya mengenai pemilihan tema #RESPEK untuk penganjuran ABPBH kali ke-29, Zara melihat perkataan itu membawa pengertian cukup besar ketika ini.

Zara turut menyokong sepenuhnya usaha ABPBH 29 mengutarakan tema terbabit kerana beliau optimis melihat majlis penganugerahan berkenaan mampu menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai peri pentingnya sikap hormat sesama manusia, alam dan karya seni.

"Dengan peperangan yang melanda dunia dan masalah sosial di negara kita, jelas apa yang berlaku bertitik tolak kepada perasaan hormat yang mula terhakis.

"Sana-sini, kita digemparkan dengan berita kemusnahan rakyat seperti di Palestin, contohnya. Jadi, saya sedar istilah respek atau hormat itu sendirinya sudah mula hilang dan mereka yang bermaharajela, bebas melakukan apa saja tanpa belas kasihan.

"Isu sosial di negara kita juga membuktikan perasan hormat bagai dilacurkan tanpa peri kemanusiaan. Kes rogol membabitkan anak kecil, contohnya, paling mengusik hati saya. Ke mana hilang rasa hormat itu? Paling asas, respek perlu ada dalam diri kita. Tidak hanya terhad kepada menghormati sesama manusia, ia juga membabitkan alam sekitar dan karya seni itu sendiri.

"Saya percaya, ada pihak yang masih berleluasa mencuri muzik dan karya seni lain dengan sewenang-wenangnya. Isu cetak rompak tidak pernah berakhir. Malah, dengan kepesatan teknologi hari ini, karya seni dan muzik dimuat turun sewenang-wenangnya secara percuma, sedangkan mereka yang bergelar karyawan melaburkan sejumlah wang untuk terus memperjuangkan industri hiburan," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X