Jumaat, 12 Februari 2016 | 12:02am
RAWATAN laser dual fractional.

Rasa tertekan kulit menggeleber

KERJAYA saya boleh dikatakan mudah stres. Sejak memasuki usia 40 tahun, garis halus dan menggeleber semakin ketara pada wajah. Saya lelaki yang mengutamakan kesihatan dan ketampanan.

Mohd Hafiz Hanafiah - Kajang, Selangor.

LELAKI moden amat mementingkan penampilan diri. Bukan sesuatu yang pelik, lelaki juga berminat untuk membuat rawatan kecantikan untuk penampilan lebih segar.

Apabila usia meningkat, peluang diserang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan barah semakin besar.

Dalam bidang perubatan antipenuaan, setiap masalah mesti dikesan dan dihindari sebelum berlaku. Jika lelaki berusia 40-an mengadu letih dan kurang tenaga, maka doktor perlu memeriksa paras hormon dalam darahnya. Doktor juga akan mengesyorkan terapi kesihatan dan antioksida untuk penambahan hormon. Ia dilakukan bagi membantu mengaktifkan kelenjar hormon dalam badan.

Masalah penampilan sering dialami lelaki seperti pigmentasi, garis kedutan, kulit menggeleber, rambut beruban, pori-pori kasar, kusam dan gelap adalah kesan penuaan yang tidak boleh dielakkan sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan dari awal.

Perbezaan kulit lelaki

Lelaki dan wanita mempunyai kulit yang berbeza. Ini kerana kulit manusia dipengaruhi hormon. Hormon testeron mempengaruhi kulit lelaki manakala hormon estrogen mempengaruhi kulit wanita.

Kulit lelaki mempunyai elastin dan kolagen yang lebih banyak berbanding wanita. Ini menyebabkan kulit mereka 20 peratus lebih tebal, anjal dan tahan kepada kerosakan matahari.

Wanita lebih menunjukkan garis halus berbanding lelaki seusia, namun begitu semakin berusia, kulit lelaki menjadi semakin nipis manakala ketebalan kulit wanita tidak berubah.

Lelaki juga mempunyai poripori kulit yang lebih besar, kelenjar sebum yang lebih aktif dan mempunyai saluran darah lebih banyak. Oleh itu, kulit lelaki kelihatan lebih kasar, lebih berpeluh dan berminyak.

Lelaki yang mempunyai banyak bulu muka dan suka bercukur akan hilang satu lapisan hydrolytic film pada permukaan kulit. Ini menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif.

Apabila usia menganjak ke 40-an lelaki juga tidak dapat lari daripada masalah penuaan. Wajah yang dimamah usia akan menyebabkan mereka tercari-cari rawatan yang sesuai.

Antara rawatan yang paling popular dalam kalangan lelaki adalah:

Laser

Lelaki juga boleh melakukan rawatan laser. Ia membantu meningkatkan paras kolagen secara semula jadi dan mengaktifkan semula sel kulit. Penggunaan laser dual fractional adalah lebih baik bagi meninggikan paras kolagen dalam kulit. Laser sebegini bertindak pada permukaan kulit saja.

Ia akan memperbaiki struktur dan menghasilkan kulit lebih gebu dan cerah. Pori-pori terbuka boleh diatasi dengan lebih berkesan. Laser juga berupaya unutuk menghilangkan garisan halus pada muka dan boleh digunakan sebagai pilihan kepada botox dan fillers yang sebenarnya boleh dilakukan lelaki.

Modified Thread Lift

Oleh kerana lelaki mempunyai wajah yang lebar dan berkulit tebal. Teknik modified thread lift, iaitu silhoutte soft lift amat sesuai untuk mereka.

Melalui teknik ini benang yang diperbuat daripada protein digunakan bagi mengangkat muka dan mengikatnya semula pada satu kawasan di bahagian kepala yang dinamakan kawasan zigomatik.

Melalui cara ini wajah yang jatuh akan diangkat semula dan hasilnya wajah tampak lebih muda dan menarik.

Teknik ubah suai digunakan kerana wajah lelaki agak lebar. Kawasan yang sering kendur bahagian bawah dagu. Ini membuatkan leher tampak kendur dan menggeleber.

Berbanding wanita pula kawasan yang mudah jatuh adalah pada pipi. Rawatan ini mengambil masa selama sejam dan hasilnya dapat dilihat sebaik saja selesai rawatan.

Benang khas

Wajah kita merangkumi struktur tulang dan otot muka. Apabila usia meningkat kulit turut mengalami perubahan dengan kandungan kolagen semakin menyusut.

Jalinan kolagen yang sedikit dan tidak kukuh membuatkan kulit menurun, tidak lagi anjal dan tegang. Otot-otot juga mula mengalami kesan penuaan dan melendut menimbulkan garisan kecil yang menghala ke bawah.

Dengan menggunakan benang khas yang dimasukkan ke bawah kulit, maka kulit muka akan diangkat semula tanpa memerlukan pembedahan yang menyakitkan. Keistimewaan teknik ini adalah ia menggunakan benang yang diperbuat daripada protein tidak sakit dan hasilnya tahan lama.

Beberapa bulan benang akan diresap ke dalam tubuh, namun hasilnya tetap cantik selama dua hingga empat tahun kerana berlakunya proses fibrosis pada bahagian muka yang diangkat. Fibrosis adalah proses semula jadi, iaitu bahagian muka yang diangkat melekat pada tempat yang betul dengan kekal.

Berita Harian X