Sabtu, 18 Oktober 2014 | 4:42pm

Marquez buru rekod Doohan di GP Australia

PHILLIP ISLAND: Juara dunia, Marc Marquez menyamai rekod 12 petak pertama semusim yang dipegang dua legenda, Mick Doohan dan Casey Stoner selepas mendominasi sesi kelayakan Grand Prix Australia, hari ini.

Kurang seminggu selepas mengesahkan kejuaraan dunia di Jepun, Marquez membuktikan masih berselera untuk menambah angka kemenangannya ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan.

Penunggang Repsol Honda berusia 21 tahun itu mencatat masa terpantas 1 minit 28.408 saat di Litar Phillip Island meninggalkan penunggang Ducati, Cal Crutchlow di petak kedua yang ketinggalan 0.234s.

Jaguh Yamaha yang menguasai sesi latihan bebas semalam, Jorge Lorenzo melengkapkan barisan depan selepas ketinggalan 0.242s berbanding Marquez.

"Ia adalah sesuatu yang menarik untuk mendapatnya di sini kerana Australia adalah negara kelahirannya (Doohan). Ia sesuatu yang hebat untuk dilakukan," kata Marquez.

"Saya akan cuba untuk mengambil risiko untuk memenangi perlumbaan. Rekod sentiasa penting, terutama jika orang membandingkan kamu dengan legenda," katanya.

Seandainya memenangi perlumbaan esok, jaguh Sepanyol itu akan merekod 12 kemenangan semusim yang turut menyamai kejayaan dipegang Doohan ketika memenangi gelaran dunia pada 1997 juga bersama Repsol Honda.

Begitupun, Marquez yang gagal memenangi tiga perlumbaan sebelum ini dan dua daripadanya kepada Lorenzo tetap mengakui rakan senegaranya itu memiliki kelebihan di Australia.

"Kami banyak meningkat hari ini selepas agak ketinggalan semalam. Kami menjangkakan perlumbaan yang sukar esok. Namun lebih pada itu, sukar untuk menghentikan Jorge dan Valentino (Rossi) yang memiliki jentera lebih pantas," katanya.

Lorenzo yang ketika ini bersaing untuk kedudukan kedua keseluruhan pelumba memiliki kelebihan apabila dua pencabar utama, Rossi dan rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa bergelut di sesi kelayakan.

Pedrosa akan memulakan perlumbaan di petak kelima dengan Rossi di petak kelapan. - AFP

Berita Harian X