Jumaat, 12 Februari 2016 | 9:40am

Polis tahan 2 lelaki, rampas senapang angin, ganja

DUA laras senapang angin buatan sendiri dan ketulan mampat ganja yang dirampas di FELDA Guar Napai, Changlun. - Foto ihsan Polis

KUBANG PASU: Polis menahan dua lelaki dan merampas dua senapang angin serta ganja di FELDA Guar Napai, Changlun, dekat sini, petang semalam.

Suspek berusia 20 tahun dan 43 tahun ditahan anggota risik Pasukan Gerakan Am (PGA), yang bertindak selepas menerima maklumat orang awam yang curiga dengan kelakuan mereka di pondok belakang sebuah rumah di FELDA berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, berkata susulan serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu, pemeriksaan lanjut dilakukan sebelum polis menemui selaras senapang angin buatan sendiri di sebelah kiri pintu pondok terbabit.

Polis juga menjumpai beg berwarna hitam yang disembunyikan dalam bekas simen, mengandungi satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan berat anggaran 566 gram.

"Susulan serbuan itu, anggota polis dibawa ke rumah seorang suspek di kawasan FELDA sama, sebelum satu lagi senapang angin bersarung hitam dengan jenama Steven Air Rifle Automatic.

"Kedua-dua suspek dijangka dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman hari ini," katanya.

Berita Harian X