Sabtu, 18 Oktober 2014 | 10:00pm
PENYERANG Manchester City dan Argentina, Sergio Aguero meraikan jaringannya menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Tottenham Hotspurs 4-1 di Etihad, malam ini. - Foto AFP
PENYERANG Manchester City dan Argentina, Sergio Aguero meraikan jaringannya menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Tottenham Hotspurs 4-1 di Etihad, malam ini. - Foto AFP

Aguero ledak empat gol bantu City benam Spurs 4-1

MANCHESTER: Sergio Aguero meledak empat gol ketika penyandang juara, Manchester City membenam Tottenham Hotspurs 4-1 dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi yang turut menyaksikan empat penalti dan satu kad merah dilayangkan.

Kemenangan menyaksikan City menambah jumlah jaringan terhadap Spurs kepada 15 gol dalam tiga perlawanan terakhir termasuk kekalahan besar 6-0 dan 5-1, musim lalu.

Penyerang City, Aguero yang dilabel pengurus Spurs, Mauricio Pochettino sebagai penyerang terbaik dunia membuktikan ketajamannya dengan meledak dua gol pada kedua-dua babak permainan dengan dua daripadanya terhasil menerusi sepakan penalti.

Peledak kelahiran Argentina itu mampu menambah jumlah jaringannya kepada lima namun penaltinya pada minit ke-32 berjaya dihalang penjaga gol Spurs, Hugo Lloris ketika kedudukan 2-1.

Spurs turut mensia-siakan peluang untuk menambah gol pada babak kedua apabila Roberto Soldado gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62.

Aguero membuka tirai jaringan pada minit ke-13 namun pantas disamakan Spurs menerusi jaringan Eriksen pada minit ke-15 sebelum kembali meletakkan City di depan menerusi penalti pada minit ke-20.

Dan ketika skuad bimbingan Manuel Pellegrini hampir selesa di depan selepas memperoleh kedua pada minit ke-31, Aguero yang diberi tugas mengambil penalti itu gagal menyempurnakannya selepas sekadar merembat lemah ke tengah gawang yang mudah dihalang Lloris.

Memasuki babak kedua, pengadil perlawanan, Jon Moss kemudian menghadiahkan penalti ketiga namun buat Spurs selepas Martin Demichelis menjatuhkan Roberto Soldado namun cubaan penyerang Sepanyol itu pada minit ke-62 diselamatkan Joe Hart.

Moss kemudian mengeluarkan penalti keempatnya enam minit kemudian selepas pertahanan Spurs, Federico Fazio didapati menarik Aguero yang mudah menyempurnakan sendiri penalti itu.

Tindakan Fazio itu turut menyebabkannya dilayangkan kad merah yang memberi peluang buat Aguero melengkapkan jumlah jaringannya pada minit ke-75.

"Saya amat gembira," kata Aguero. "Kami semua amat gembira. Anugerah (pemain terbaik perlawanan) ini adalah untuk seluruh pasukan kerana mereka membantu saya mendapatkan gol ini."

Empat gol ketika menentang Spurs menambah jumlah jaringan dimiliki Aguero kepada sembilan gol dalam lapan perlawanan EPL.

Berita Harian X