Sabtu, 13 Februari 2016 | 3:57pm
AZHAN Rani bersama Nabila menjayakan watak sahabat baik dalam telefilem Lukisan Cinta.

Nabila buta kerana Sharnaaz


TELEFILEM Lukisan Cinta pertaruhan sulung Sharnaaz Ahmad sebagai pengarah.

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda, 31, sedia menyahut cabaran yang diberikan Sharnaaz Ahmad untuk menggalas watak sebagai wanita cacat penglihatan disebabkan kemalangan dalam telefilem arahan sulung aktor itu.

Katanya, kepercayaan yang diberikan Sharnaaz sangat bermakna apatah lagi, telefilem itu turut menampilkan gandingan mereka selaku teraju utama.

Nabila atau Abil berkata, telefilem berjudul Lukisan Cinta itu menguji kemampuannya sebagai pelakon apabila perlu menjiwai pergolakan emosi seorang wanita yang pada mulanya sempurna tetapi menjadi buta pada pertengahan cerita.

"Tidak mudah untuk menyelami karakter itu, terutama apabila saya terpaksa melakukan perubahan emosi yang drastik pada pertengahan jalan cerita. Sebagai pelakon, saya sentiasa dahagakan cabaran.

   

"Karakter seperti ini memang dinanti kerana saya sentiasa mencari kematangan dalam lakonan," katanya.

Pelakon drama, Akulah Balqis itu juga yakin, pertaruhan sulung Sharnaaz sebagai sutradara mampu memberikan hasil yang baik. Penggambaran drama itu bermula semalam di sekitar Kuala Lumpur.

"Saya teruja apabila Sharnaaz menggunakan dua kamera dan ia secara tidak langsung, mempercepatkan proses penggambaran.

Sharnaaz antara pelakon yang baik dan pengalaman yang dimilikinya banyak membantu dalam menyerlahkan kreativitinya sebagai pengarah.

"Sharnaaz tahu apa yang dimahukannya sebagai pengarah. Saya pernah bekerjasama dengan Sharnaaz sebelum ini, jadi tidak sukar untuk memahami caranya ketika di lokasi penggambaran," katanya.

Nabila mengakui, kagum dengan cara pengarahan Sharnaaz yang santai meskipun plot telefilem itu sarat dengan konflik dan tragedi yang menuntut permainan emosi mendalam.

"Saya terharu dengan kesungguhan Sharnaaz yang sanggup menanti hingga saya menyelesaikan semua urusan peribadi sebelum memulakan penggambaran telefilem ini. Insya-Allah, saya akan pastikan Sharnaaz berpuas hati dengan hasil kerja saya ini," katanya.

Selain Abil dan Sharnaaz, telefilem yang diterbitkan oleh syarikat produksi pengarah muda itu turut menampilkan pelakon hebat seperti Azhan Rani, Normah Damanhuri dan ramai lagi.

299 dibaca
Berita Harian X