Sabtu, 13 Februari 2016 | 11:47pm
PENYOKONG JDT memberi sokongan ketika menyaksikan JDT bertemu Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENYOKONG Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JDT menang aksi Sumbangsih tundukkan Selangor


PASUKAN JDT meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor 7-6 menerusi sepakan penalti pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memenangi Perlawanan Sumbangsih selepas menewaskan Selangor, 7-6 menerusi sepakan penalti di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Kedua-dua pasukan terdahulu terikat 1-1 dalam tempoh masa permainan sebenar.

Selangor bagaimanapun tidak kecewa apabila berkongsi mata dengan tuan rumah untuk saingan Liga Super.

Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah adalah juga pembuka tirai Liga Super bagi setiap musim.

Dalam pada itu, tampil menguasai permainan sepanjang babak pertama, gol yang dicari JDT hanya hadir pada penghujung perlawanan menerusi pemain import, Harris Harun.

Berpunca daripada sepakan sudut kapten pasukan, Safiq Rahim, Harris yang tidak dikawal berjaya menanduk padu menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Norazlan begitupun boleh disifatkan pemain Selangor paling cemerlang pada malam ini apabila berjaya melakukan beberapa cubaan menyelamat.


PEMAIN JDT, Hariss Harun (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

Seawal keenam permainan, pemain yang dikenali dengan Wak Lan itu sudah diuji menerusi penyerang import baharu, Martin Lucero namun berjaya dipatahkan.

Safiq juga hampir memecah kebuntuan namun kedua-dua cubaannya terbaiknya sama ada di babak pertama atau kedua tersasar atau diselamatkan Norazlan.

Babak kedua berlangsung, JDT terus membuktikan mereka adalah pasukan pilihan dengan menguasai permainan namun disebalik rentetan serangan dijana, mereka dikejutkan dengan jaringan penyamaan Selangor.

Seperti tidak dijangka, penjaga gol JDT, Farizal Marlias gagal membaca baik bola sepakan percuma bekas pemain Pahang, Hafiz Kamal yang mudah menerjah gawangnya.

Gol pada minit ke-60 itu merancakkan permainan kedua-dua pasukan dengan Safiq hampir meletakkan JDT di depan namun sekali lagi, cubaannya pada minit ke-69 tersasar.

Kali terakhir kunjungan Selangor yang juga juara Piala Malaysia 2015 ke Larkin, tahun lalu berakhir dengan kekalahan 3-1.

Tiada tambahan jaringan berjaya diledakkan kedua-dua pasukan berakhir masa perlawanan yang membawa kepada penentuan penalti yang memihak JDT, 7-6.


PENJAGA gol Selangor, Norazlan Razali diasak penyerang JDT, Juan Martin Lucero (dua dari kanan) dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Berikut adalah keputusan lain perlawanan Liga Super 2016 yang turut berlangsung, malam ini.

  • Di Stadium Darul Makmur - PAHANG 2 TERENGGANU FC II 2
  • Di Stadium Sultan Mizan - TERENGGANU 1 PULAU PINANG 0
  • Di Stadium Tun Abdul Razak - FELDA UNITED 2 KEDAH 0
  • Di Stadium Perak, Ipoh - PERAK 0 KELANTAN 0
  • Di Stadium Hang Jebat, Melaka - PDRM 1 SARAWAK 0
Berita Harian X