Isnin, 18 Ogos 2014 | 12:57pm
Sara Ali

Sara Ali nafi bersikap dingin dengan Fazura

SABAH: Pelakon Sara Ali menafikan hubungan beliau dan aktres Fazura dingin sebaliknya menjelaskan persahabatan mereka berjalan seperti biasa.

Sebelum ini peminat sedia tahu Sara cukup akrab dengan aktres berkenaan malah kedua-duanya sering memuat naik gambar bersama di Instagram.

Cuma kebelakangan ini ramai yang beranggapan kedua-duanya tidak lagi baik berdasarkan tiada lagi gambar bersama dimuat naik di laman sosial bergambar popular itu.

Sebelum ini juga Sara dianggap sebagai The Next Fazura. Hubungan mereka seperti adik dan kakak.

"Kami masih berkawan cuma saya agak sibuk di lokasi penggambaran drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Disebabkan kesibukan ini memang kami jarang dilihat bersama menghabiskan masa seperti selalunya.

"Kami masih berhubung seperti biasa. Tetapi jika ada yang mengandaikan kami sudah tak rapat itu terpulanglah. Saya kini menjalani penggambaran drama ini di Pulau Sipadan, Sabah dan sebelum itu di Perth, Australia.

"2014 akan menjadi tahun saya kembali sibuk bekerja dan tidak seperti tahun lalu saya banyak merehatkan diri," katanya.

Mengenai drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna (MJATS) yang diadaptasi dari novel dengan judul sama, Sara bergandingan dengan Fahrin Ahmad buat julung kalinya. Ia terbitan Zeel Production milik Fadzil Teh dan diarahkan Shuhaimi Lua.

"Saya memegang watak utama bernama Melina. Karakter ini agak istimewa kerana ia bersifat antagonis. Demi kelainan saya sanggup mengorbankan rambut panjang yang disimpan selama ini.

"Drama ini adaptasi novel tulisan Acik Lana. Ia diterbitkan sebanyak 32 episod dan akan bersiaran 2 September menerusi slot Akasia 7 malam di TV3," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X