Isnin, 15 Februari 2016 | 11:55pm
JOHAN Pertandingan Akhir Debat Keamanan Antara IPT 2016 Piala Menteri Pertahanan Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Haziq Jamaludin (kiri) dan Mohammad Johan Mat (kanan) di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM).- Foto Asyraf Hamzah

UiTM rangkul Piala Menteri Pertahanan

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua dari kanan) menyampaikan hadiah Johan Pertandingan Akhir Debat Keamanan Antara IPT 2016 Piala Menteri Pertahanan Malaysia kepada pasukan debat Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Haziq Jamaludin (dua dari kiri) dan Mohammad Johan Mat (kiri) di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM). Turut kelihatan, Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohamed Fadzil Bin Che Din (tiga dari kiri). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul johan pertandingan Pertandingan Debat Keamanan Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2016 Piala Menteri Pertahanan Malaysia di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu melayakkan UiTM, yang diwakili oleh Mohammad Johan Mat dan Muhammad Haziq Jamaluddin membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan dan sijil.

Naib johan dimenangi Universiti Islam Antabangsa Malaysia (UIAM) Pasukan A menerusi wakilnya, Ainur Rabiatuadawiyah Hashim dan Ani Najiha Md Shah. Mereka menerima wang tunai RM2,000 dan sijil.

Dalam pertandingan debat yang mengetengahkan usul Demi Keamanan Sejagat, Kestabilan Politik Lebih Penting Dari Kestabilan Ekonomi itu, UiTM bertindak sebagai pembangkang, manakala UIAM Pasukan A bertindak sebagai penyokong.

Tempat ketiga pertandingan disandang oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pasukan B, yang diwakili Luqman Long dan Nur Anisatul Ashikin. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang diwakili Fikri Isnin dan Naim Fital mendapat tempat keempat, membawa pulang hadiah RM1,000 dan sijil.

Dalam pada itu, pendebat UiTM, Mohammad Johan Mat diumumkan sebagai pendebat terbaik dan membawa pulang hadiah RM500 serta sijil penghargaan.

Pertandingan debat keamanan yang bertemakan 'Mahasiswa Menjulang Keamanan' disertai 36 pasukan, mewakili universiti awam dan swasta dari seluruh negara.

Hadiah pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) dan UPNM itu disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UPNM, Profesor Dr Mohamed Fadzil Che Din.

Berita Harian X