Rabu, 17 Februari 2016 | 12:05am
Ketua Unit Pengembangan Sastera dan Budaya BH, Sutung Umar Rs. - Foto Maya Sarina Mahat

Memelihara makna 'puisi ketuhanan'


- Gambar hiasan

PUISI yang diungkapkan oleh penyair kelahiran Perlis itu sangat prosaik yang boleh saja menjadi sebuah ayat biasa, tetapi keadaannya yang diikat pada ayat al-Quran itu mengangkatnya sebagai peringatan penting.

Nahmar Jamil atau nama sebenarnya Na'man Mohd Rawi sudah kembali ke rahmatullah kira-kira dua tahun lalu, tetapi peringatan yang terkandung dalam kumpulan puisi yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) secara posthumous itu pastinya akan sentiasa diulang-ulang dalam ungkapan berlainan.

Penyair dan pengarang tidak boleh menganggap kedudukannya istimewa, sebaliknya menjadikan peringatan itu sebagai tali yang dipegang dengan kukuh ketika mengembara di ranah kepenyairan serta kepengarangan.

Apatah lagi kalau puisi atau karya yang dikarangnya mengangkat pengalaman kerohanian yang bagi sebahagian pengkritik (bahkan penyair itu sendiri) mengklasifikasikannya sebagai 'karya sufi'.

Ahli dan ulama sufi dalam tradisi Islam menjadikan puisi sebagai suatu bentuk ungkapan untuk berkongsi pengalaman dan pendidikan kerohanian mereka sebagai panduan dalam lingkungan yang dikenali sebagai ahlillah atau salik.

Tempias karya ahli sufi

Bagaimanapun, kesan yang ditinggalkan daripada karya mereka tidak hanya dirasai dalam lingkungan sufi itu sendiri, bahkan tempiasnya turut dinikmati oleh kita sebagai pembaca biasa.

Dalam kalangan yang menerima tempias itu adalah penyair atau pengarang yang memiliki bakat dan kemahiran mengarang yang mencuba-cuba untuk mengungkapkan pengalaman pembacaan itu ke dalam penulisan termasuk puisi.

Sebahagian yang diungkapkan mereka itu bukanlah pengalaman kerohanian yang sudah tentunya menuntut tradisi ilmu dan pendidikan dalam pandangan alam Islam yang sempurna termasuk melalui jalan tarikat dan bimbingan guru mursyid.

Namun di negara ini, karya sebegini turut dimasukkan dalam genre sufi sehingga menimbulkan kekacauan makna, lalu menempatkan sesuatu karya atau penulisnya bukan pada tempatnya.

Justeru ada pengkritik seperti Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir yang lebih selesa menggunakan label 'puisi ketuhanan.'


Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir

Pelihara teks, konteks karya sufi

Bagaimanapun istilah 'puisi ketuhanan' itu sendiri membawa makna yang besar sehingga penulis yang menghasilkan karya sebegitu perlu sedar terhadap hakikat diungkapkannya.

Pandangan itu dilontarkan ketika saya memuat naik status di media sosial supaya penulis yang menghasilkan karya yang dilabelkan sebagai 'karya sufi' untuk memelihara bukan saja teks berkenaan, bahkan konteks yang membentuk teks terbabit.

Baik label puisi sufi atau ketuhanan, penyair dan pengarang masih tetap tertakluk kepada peringatan dalam surah As-Syu'ara' itu seperti yang diingatkan oleh pengarang mapan yang juga mantan Ketua Unit Pengembangan Sastera dan Budaya BH, Sutung Umar Rs.

Sutung Umar Rs mengingatkan pemikiran yang tidak benar tidak saja berlaku dalam genre yang disebutkan, bahkan penulisan puisi biasa pun jika diteliti ada banyak yang tidak benar persoalan falsafah kebenaran yang terkandung di dalamnya.

Penulisan yang lalu biarlah menjadi muhasabah kerana teksnya sudah tidak dapat dipadamkan, tetapi biarlah karya kita pada masa depan tidak bercanggah dengan perkataan dan perbuatan sendiri.

12 dibaca
Berita Harian X