Rabu, 17 Februari 2016 | 7:28am
PERTAHANAN PSG, David Luiz (dua dari kiri) diasak pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas (kiri) dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Cavani bantu PSG benam Chelsea

PEMAIN PSG, Edinson Cavani meraikan jaringannya pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stadium Parc des Princes, Paris, Perancis, awal pagi tadi. - Foto AP

PARIS: Penyerang yang bergelut dengan masalah prestasi, Edinson Cavani muncul wira selepas meledak gol kemenangan yang membolehkan Paris Saint Germain (PSG) menundukkan Chelsea 2-1 pada aksi pertama kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Cavani yang kerap direhatkan beberapa minggu lalu menyudahkan hantaran daripada Angel Di Maria yang berjaya menembusi barisan pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol, Thibaut Courtois daripada sudut sukar pada minit ke-78.

"Saya gembira untuk Eddy. Meskipun ramai yang meragui kemampuannya untuk menjaringkan gol, tetapi dia menunjukkan betapa dia boleh berbuat demikian," kata jurulatih PSG, Laurent Blanc.

"Dia sedang melalui detik sukar dalam kariernya dan saya mengharapkan jaringannya itu akan mengembalikan semula keyakinannya."

Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic meletakkan PSG terlebih dahulu di depan menerusi sepakan percuma pada minit ke-39 sebelum pelawat menyamakan kedudukan pada minit akhir separuh masa pertama hasil jaringan John Obi Mikel.

ZLATAN Ibrahimovic (kanan) bersaing dengan pemain Chelsea, Matt Miazga dalam aksi di Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi. - Foto EPA

Courtois turut melakukan beberapa aksi tangkas untuk menyelamatkan Chelsea yang masih lagi memiliki peluang pada aksi timbal balik kedua nanti dengan pemain sayap Sepanyol, Pedro nyaris menghampakan tuan rumah pada masa kecederaan, namun rembatannya tersasar ke tepi jaring.

"PSG pasukan yang kuat, jadi saya berasakan pemain menunjukkan persembahan yang baik," kata pengurus Chelsea, Guus Hiddink.

"Namun kami sepatutnya boleh menyudahkan deretan peluang daripada serangan balas pantas yang dapat kami lakukan."

Meskipun memenangi aksi itu, namun anak buah Blanc gagal membawa bekalan selesa ke tempat lawan dengan Chelsea kini dilihat boleh mengambil kesempatan pada aksi kedua di Stamford Bridge, tiga minggu lagi.

"Sekarang ia bergantung kepada kami untuk menjaringkan gol di Stamford Bridge, peluang itu masih ada dan kami akan berusaha memanfaatkannya," kata Blanc.

"Apa yang saya kesalkan ialah kami bolos ketika separuh masa pertama hampir tamat.

"Ini membuatkan saya berang kerana kami kehilangan bola beberapa kali sebelum mereka menjaringkan gol penyamaan," katanya. - AP

PENYERANG Chelsea, Pedro (kiri) berebut bola dengan pemain PSG, Angel Di Maria dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X