Rabu, 17 Februari 2016 | 6:49pm

Pendapatan tertinggi Axiata, RM19.9b pada 2015

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd mencatat pendapatan tertinggi sebanyak RM19.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, naik 6.3 peratus berbanding RM18.71 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, berkata pencapaian itu diperoleh daripada manfaat kepelbagaian perniagaan di pasaran membangun di Asia dan keuntungan daripada tukaran mata wang asing.

Beliau berkata, pencapaian itu sekali gus membolehkan Axiata mencatat pendapatan dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) tertinggi.

"Kami mencatatkan pencapaian kukuh terutama dalam pendapatan dan PATAMI berlandaskan beberapa keuntungan daripada tukaran mata wang asing serta prestasi cemerlang syarikat operasi kumpulan iaitu Dialog Axiata Plc, Smart Axiata Co Ltd dan Robi Axiata Limited," katanya dalam taklimat media di sini, hari ini.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Axiata bagi tahun kewangan 2015 meningkat 4.1 peratus kepada RM7.3 bilion dengan margin EBITDA sebanyak 36.6 peratus.

Sejajar itu PATAMI meningkat lapan peratus untuk mencatat jumlah tertinggi sebanyak RM2.6 bilion.

Jamaludin berkata, petunjuk utama kumpulan meningkat pada tahun kewangan 2015 dibantu oleh prestasi baik pada suku keempat membabitkan pendapatan, operasi cemerlang di kebanyakan syarikat operasi kumpulan (OpCos), pelaksanaan strategi pemilihan yang teguh, pertumbuhan data keseluruhan yang lebih kukuh serta disokong mata wang lebih kukuh berbanding ringgit.

Beliau berkata, dua OpCos terbesar kumpulan terus menunjukkan pertumbuhan suku ke suku (QoQ) yang kukuh dengan Celcom Axiata Bhd mencatatkan pertumbuhan pendapatan buat kali pertama selepas merekodkan penurunan bagi tiga suku, manakala agenda transformasi PT XL Axiata Tbk membuahkan hasil menggalakkan untuk mencapai peningkatan bagi tiga suku berturut-turut.

"Pertumbuhan data keseluruhan terus dicapai di semua OpCos dengan pendapatan bagi tahun kewangan 2015 meningkat 29.8 peratus didorong terutama oleh Smart, Robi dan Dialog yang masing-masing mencatat peningkatan 86.2 peratus, 78.9 peratus dan 62.7 peratus, membuktikan sasaran pelaburan meluas kumpulan untuk data membuahkan hasil," katanya.

Jamaludin berkata, melangkah memasuki 2016, data dan pelaburan dalam infrastruktur data akan terus menjadi keutamaan Axiata dalam memacu pertumbuhan data yang berkesan di semua pasaran di mana kumpulan itu beroperasi.

Beliau berkata, ia berikutan kadar penembusan telefon pintar terus menguasai permintaan pengguna.

"Kami berharap menyaksikan pemulihan lebih kukuh dalam Celcom serta agenda transformasi XL terus membuahkan hasil tahun ini," katanya.

Berita Harian X