Khamis, 18 Februari 2016 | 2:01pm

Swasta pemacu utama pertumbuhan KDNK 5.0 peratus pada 2015

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan memuaskan pada 2015 meskipun berhadapan persekitaran ekonomi yang mencabar, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.0 peratus.

Bagi suku keempat (S4) 2015, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.5 peratus (S3 2015: 4.7 peratus), disokong terutama oleh permintaan sektor swasta, manakala dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh sektor ekonomi utama.

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi kenyataan hari ini, menyatakan meskipun persekitaran ekonomi adalah mencabar pada suku keempat, sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

Katanya, penggunaan swasta berkembang 4.9 peratus (S3 2015: 4.1 peratus), disokong oleh pertumbuhan upah dan keadaan pasaran pekerja yang stabil.

Pelaburan swasta pula berkembang 5.0 peratus (S3 2015: 5.5 peratus), didorong oleh perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

"Pelaburan awam mencatat pertumbuhan sederhana pada suku keempat (0.4 peratus; S3 2015: 1.8 peratus), berikutan pertumbuhan perbelanjaan yang lebih rendah untuk harta tetap oleh Kerajaan Persekutuan," tambah kenyataan itu.

Dari segi penawaran, BNM menjelaskan, sektor ekonomi utama menyokong pertumbuhan pada suku keempat, dengan pertumbuhan sektor perkhidmatan disokong oleh aktiviti berkaitan penggunaan dan perdagangan.

Katanya, sektor perkilangan mencatat pertumbuhan lebih tinggi sedikit, disokong terutama oleh industri berorientasikan dalam negeri, manakala pertumbuhan sektor pembinaan disokong oleh subsektor kejuruteraan awam dan kediaman.

"Pertumbuhan sektor pertanian menjadi sederhana, mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah. Sektor perlombongan, bagaimanapun, menguncup disebabkan oleh pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih rendah," kata bank pusat itu.

Mengenai prestasi perdagangan, BNM berkata, lebihan perdagangan meningkat kepada RM30.4 bilion pada suku keempat 2015 (S3 2015: RM22.2 bilion).

Katanya, eksport kasar mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 8.1 peratus (S3 2015: 5.5%), disokong terutama oleh keluaran perkilangan bukan berasaskan sumber, khususnya jentera, kelengkapan dan peralatan, serta keluaran logam.

Sementara itu, import kasar terus meningkat 3.7 peratus (S3 2015: 2.9%), mencerminkan import yang lebih tinggi bagi semua kategori import utama.

Mengikut BNM, inflasi, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), menurun kepada 2.6 peratus pada suku keempat 2015 berikutan harga bahan api dalam negeri yang lebih rendah.

Bagaimanapun, keadaan itu diimbangi sebahagiannya oleh inflasi makanan dan rokok yang lebih tinggi, katanya.

Bank Pusat berkata, rizab antarabangsa BNM berjumlah RM409.1 bilion (bersamaan dengan AS$95.3 bilion) pada 31 Disember 2015, yang mana paras rizab itu telah mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing.

Pada 29 Januari 2016, kedudukan rizab berjumlah RM410.1 bilion (bersamaan dengan AS$95.5 bilion), yang mana ia kekal lebih daripada mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa.

Paras itu memadai untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh serta jauh lebih tinggi daripada paras ambang antarabangsa iaitu tiga bulan, selain mencukupi untuk memenuhi obligasi luaran dengan perlindungan rizab kepada hutang luar negeri jangka pendek sebanyak 1.2 kali.

"Penting untuk diketahui bahawa bukan semua hutang luar negeri jangka pendek memerlukan tuntutan terhadap rizab memandangkan peminjam mempunyai aset luaran dan perolehan eksport pada paras tinggi," katanya.

Berita Harian X