Khamis, 18 Februari 2016 | 6:17pm

LPPPQ kesan penjualan al-Quran tanpa kelulusan

Tan Sri Harussani Zakaria

PUTRAJAYA: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) mengesan penjualan naskhah al-Quran yang diimport tanpa kelulusan dan dijual secara meluas termasuk menerusi internet.

Pengerusi LPPPQ, Tan Sri Harussani Zakaria, dalam satu kenyataan, berkata al-Quran yang dinamakan mashaf 'Al Quran Al-Wasim' dan mashaf 'Al Quran Al Mumayyaz' itu didapati mengandungi dua kesalahan iaitu menggunakan rasm Imla'i dan tulisan rumi dalam penulisan ayat al-Quran.

"LPPPQ menetapkan dasar penggunaan rasm Imla'i tidak dibenarkan, hanya rasm Uthmani dibenarkan dalam penulisan al-Quran di Malaysia.

"Penggunaan tulisan rumi dalam penulisan ayat al-Quran juga tidak dibenarkan selaras keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam ke-24 yang bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989," katanya.

Bagi memastikan teks al-Quran yang dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi kesalahan, katanya, masyarakat dinasihatkan berhati-hati dalam membeli atau mendapatkan naskhah al-Quran dengan memastikan naskhah diperakui LPPPQ.

Berita Harian X