Jumaat, 19 Februari 2016 | 10:20am

Penyu tanpa 2 tonggak import jumpa Semut Merah

KUALA TERENGGANU: Terengganu belum pasti dapat menurunkan dua awang importnya menjelang aksi pusingan kedua Piala FA bertemu PKNS di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Arkitek skuad Penyu, Gustavo Lopez mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan Liga Super dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Selasa lalu manakala Issey Nakajima-Farran yang tidak beraksi dalam pertemuan itu berada dalam senarai pemain cedera.

Pengendali Terengganu, Ahmad Yusof, berkata kecederaan yang dialami anak buahnya semakin bertambah ramai kerana sebelum ini membabitkan dua tonggak, Ismail Faruqi Asha'ri dan Amirizdwan Taj Tajuddin.

Begitupun, katanya dia akan melihat sejauh mana tahap kecederaan yang dialami Lopez dan Nakajima-Farran sebelum memutuskan kesebelasan utama berdepan skuad E Elavarasan, malam ini.

"Saya mahu pemain lupakan kekalahan kepada Kedah, Selasa lalu sebaliknya memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya dalam aksi kalah mati dengan PKNS malam ini.

"Perlawanan ini adalah misi hidup mati pasukan dan jika kita gagal bermakna satu piala akan terlepas musim ini," katanya.

Pengendali berusia 56 tahun itu berkata, sekalipun PKNS beraksi dalam Liga Perdana, itu tidak bermakna anak buahnya memandang mudah sekalipun pasukan itu mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam aksi liga.

Katanya, dia yakin pasukan jolokan Semut Merah akan bangkit daripada dua kekalahan yang mereka alami dan diharapkan pemain yang diturunkan nanti tidak mengulangi kesilapan ketika bertemu Kedah.

"Kita sudah melakukan yang terbaik, tapi kerana sedikit kealpaan membolehkan pihak lawan menjaringkan gol.

"Jadi, saya harap pemain dapat belajar dari kekalahan lalu selain mengharapkan jentera serangan manfaat peluang dan lebih bijak memburu jaringan," katanya.

Berita Harian X