Jumaat, 19 Februari 2016 | 8:31pm

Zaidatul baharui rekod 60m dalam dewan

PELARI pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.
PELARI pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dengan kepantasan 7.61s di Kejohanan Olahraga Tertutup dalam Dewan Asia ke-7, Doha, Qatar, hari ini.

Husniah pada pusingan saringan kejohanan terbabit memadamkan catatan 7.90s milik Norjannah Hafiszah Jamaludin yang dilakukan pada Kejohanan Dunia, Doha, Qatar pada 12 Mac 2010.

Kepantasan milik Husniah bagaimanapun hanya meletakkan dirinya di tempat kedua, di belakang atlet dari China, Yuan Qiqi, dengan kepantasan 7.38s manakala di kedudukan ketiga setakat ini milik Diana Aqliulina dari Uzbekistan,(7.62s).

"Sebenarnya saya cuma sasarkan untuk melakukan catatan masa saja. Larian tadi bagi saya agak bagus dan saya tak jangka dapat memecahkan rekod kebangsaan.

"Untuk kejohanan ini saya sudah mempersiapkan latihan sejak awal lagi, saya harap dapat masa lebih baik daripada saringan," katanya ketika dihubungi di Qatar, hari ini.

Catatan itu melayakkan Husniah untuk beraksi pada peringkat separuh akhir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X