Ahad, 21 Februari 2016 | 1:06am

Ketua Polis KL dilantik Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman


KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, berkuat kuasa semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datin Asmawati Ahmad, dalam kenyataan hari ini, berkata Tajudin menggantikan Datuk Hamza Taib yang bersara wajib pada 14 Mac ini.

Sementara jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)(Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Jawatan Amar Singh pula disandang Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon, manakala Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali menggantikan Law.

Timbalan Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman, Datuk Mohd Haniff pula dinaikkan pangkat daripada DCP ke CP.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Bahagian Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, Datuk Dr Ab Rahman Ismail dinaikkan pangkat ke Timbalan Pengarah JIPS (Integriti) Bukit Aman, dengan memangku pangkat DCP.

Sementara, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Datuk Riduan Hashim ditukar sebagai Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Jawatan Ketua Staf Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pula diisi oleh ACP Md Rusli Mat Junus dengan memangku pangkat SAC yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Kepolisan Am/Strategik/Siasatan) Jabatan KDN/KA Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad pula dinaikkan pangkat menjadi Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am dengan memangku pangkat SAC.

Jawatan Roslan diambil alih ACP Abang Ahmad Abang Julai, yang sebelum ini berkhidmat sebagai ACP Pentadbiran IPK Sarawak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Johor dengan memangku pangkat SAC.

- BERNAMA

Berita Harian X