Ahad, 21 Februari 2016 | 10:33am

Tersingkir awal Piala FA, PBSNT jumpa pemain, pengurusan


PEMAIN PKNS FC (jersi oren) diasak pemain Terengganu dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Hang Jebat. - Foto Nazri Abu Bakar

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan membuat bedah siasat terhadap skuad Penyu berikutan tersingkir awal dari saingan Piala FA, kelmarin.

Kekalahan 1-3 Terengganu di tangan pasukan dari Liga Perdana, PKNS sukar diterima tatkala skuad jolokan Semut Merah itu kalah dalam dua perlawanan awal kepada Kuala Lumpur (0-1) dan Melaka United (1-2).

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan semua pegawai pasukan termasuk ketua jurulatih, Ahmad Yusof, esok.

Beliau berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid itu dijangka membincangkan beberapa isu mengenai kekalahan berkenaan.

"Saya tidak tahu apa yang mahu dibincangkan, cuma yang pasti ingin mencari jalan yang terbaik dan merungkai kekalahan di tangan pasukan dari Liga Perdana.

"Malah, perjumpaan ini juga dijangka turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan Terengganu gagal layak ke pusingan ketiga Piala FA selepas dimalukan PKNS  3-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, kelmarin.

Skuad E Elavarasan membuka jaringan menerusi Matias Hadwa yang menolak masuk gol pendahuluan pada minit ke-46, namun disamakan Muhammad Fakrulrazi Musa pada minit ke-71. 

Begitupun, skuad jolokan Semut Merah memastikan Penyu menangis di Melaka apabila menambah dua jaringan menerusi Gonzalo Sato minit ke-74 dan Gabriel Guerra minit 90. -

Arpin berkata, pihaknya juga berharap perjumpaan itu mampu membawa kebaikan bersama dan bangkit dalam saingan liga menanti kunjungan Johor Darul Ta' zim (JDT), Sabtu ini.

Berita Harian X